PETALING JAYA: “Kalau pelakon muda dapat watak emak, habis itu saya hendak jadi watak apa pula?”.
Demikian luahan pelakon veteran, Delimawati, 65, yang popular menerusi naskhah Hantu Kak Limah mempersoalkan sikap syarikat produksi yang tergamak memberikan watak orang tua atau ibu bapa kepada pelakon lebih muda.
Sedangkan, katanya, lontaran dialog dan penghayatan antara pelakon lama yang jauh lebih berpengalaman berbanding pelakon baharu.
“Mereka tak fikir sebenarnya intonasi pelakon muda sudah tentu berbeza apabila membawakan watak yang lebih berusia,” katanya.
Pelakon veteran, Aznah Hamid, 69, pula berkata, tawaran lakonan yang pernah diterima pula dirasakan tidak berbaloi dengan watak yang perlu digalas selain faktor bayaran.
Selain itu, katanya, sudah menjadi trend mana-mana drama memilih pelakon muda menggalas watak sebagai orang tua sekali gus menafikan peluang pelakon veteran.

“Kadang-kadang syarikat produksi ini ambil pelakon ekstra sebab hendak bayar murah. Memang mereka boleh hafal dialog dengan cepat, tetapi belum tentu mereka bijak mengolah dan mendalami watak itu.
“Watak emak-emak pula bagi orang muda, kadang itu yang jadi nenek pun orang muda. Kita ini watak moyang agaknya itupun kalau ada.
“Bukan hendak kata sombong, tetapi ada tawaran watak dan bayaran yang tidak berbaloi. Saya sudah lama tidak keluar televisyen, tetapi banyak drama lakonan saya yang masih diulang siar,” jelasnya.
Situasi tersebut turut menyebabkan pelakon veteran lain putus punca pendapatan termasuk Fadilah Mansor, 64, yang hampir enam bulan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
“Tahun ini banyak terputus job, tak tahu apa punca. Sebagai pelakon sudah tentu kita ternanti-nantikan tawaran. Namun, sejak enam bulan kebelakangan ini saya tiada kerja, ramai juga kawan-kawan lain senasib.

“Ikutkan sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri sampai sekarang tiada job. Sekarang ini masih menunggu tetapi tiada syarikat produksi yang panggil. Rezeki saya memang 100 peratus daripada lakonan,” katanya. – UTUSAN










