LPT2 bahaya: LLM buat kajian forensik

LPT2 bahaya: LLM buat kajian forensik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan melakukan kajian secara forensik bagi mengenal pasti punca-punca yang menyumbang kepada kemalangan di lebuh raya terutamanya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dianggap bahaya.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, beliau sudah meminta laporan lengkap tentang faktor yang menjadi penyumbang kemala­ngan dalam mesyuarat kali pertama dengan Lembaga Pengarah LLM sebelum ini.

Beliau berkata, ia termasuk di lokasi yang melibatkan kekerapan paling banyak berlakunya kemalangan di kawasan tertentu.

“Kita memang ada beberapa langkah diambil untuk kurangkan kemalangan, tetapi jumlah kemalangan agak membimbangkan jika tidak dibendung daripada sekarang.

“Oleh itu, saya (sudah) arahkan pengurusan LLM supaya kita buat kajian secara forensik faktor kemalangan (yang mungkin) berpunca daripada permukaan jalan, jalan tidak diurus dengan baik atau pelbagai lagi.

“Berasaskan kepada kajian ini, baru kita akan melihat kaedah untuk penambahbaikan supaya dapat jalankan langkah-langkah pencegahan. Kita bagi perhatian daripada satu perkara ke perkara yang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, LPT 2 dianggap bahaya selepas mencatatkan 503 kemalangan dalam tempoh lima bulan iaitu bermula Januari hingga 31 Mei ini, membabitkan 14 kematian dan tiga ce­dera parah.

Selain itu, sebanyak 1,084 kemalangan dengan 24 kes kematian dan 17 cedera parah dilaporkan sepanjang 2022.

Permukaan jalan beralun, gelap pada waktu malam, pencerobohan haiwan dan faktor manusia menjadi antara punca lebuh raya itu dianggap bahaya.

Malah, pengguna mendakwa keadaan permukaan LPT2 yang beralun berlaku sejak lebuh raya itu dibuka pada 2015 masih belum dapat diatasi sepenuhnya sehingga hari ini.

Kata mereka, pengguna juga berdepan dengan keadaan yang terlalu gelap di beberapa lokasi dan ancaman binatang liar serta haiwan ternakan yang terlepas ke lebuh raya itu.

Sementara itu, pihak LPT2 secara berterusan menjalankan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan sepanjang jajaran lebuh raya tersebut dalam usa­ha mengurangkan jumlah kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna.

Pengurus Wilayah LPT 2 Sdn. Bhd., Suhaimi Samat berkata, antara langkah diambil menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan seca­ra berjadual dan kerja-kerja penambahbaikan jalan termasuk penanda jalan.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya juga menjalankan kerja-kerja pembaikan untuk mengukuhkan struktur pagar bagi menangani isu kemasukan haiwan ternakan ke dalam kawasan lebuh raya.

“Ketika ini, pemantauan dan rondaan 24 jam dilakukan oleh pasukan LPT2 Ronda dengan koordinasi bantuan daripada Pusat Pemantauan Trafik LPT2 bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.

“LPT2 juga bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui penguatkuasaan pematuhan kepada peraturan keselamatan dan lalu lintas jalan raya secara berkala,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain itu, Suhaimi membe­ritahu, pihaknya juga memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di dua lokasi iaitu di KM258 (Arah Selatan) laluan Kuala Terengganu-Kuantan dan KM288 (Arah Utara) di laluan Chukai-Kuala Terengganu untuk memasti pemandu kenderaan mematuhi had kelajuan di lebuh raya berkenaan.

Tambahnya, dalam memastikan pengguna mendapat rehat yang cukup sepanjang pemanduan pula, LPT2 menyediakan kawasan rehat dan ra­wat (R&R) serta hentian se­belah di setiap 50 hingga 75 kilometer sepanjang jajaran lebuh raya itu.

“Kami juga sentiasa ber­kongsi tips pemanduan berhemah dan nasihat keselamatan kepada orang ramai di laman media sosial LPT2 dan pada masa sama meningkatkan ke­sedaran mengenai keselamatan lebuh raya kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×