Mukadimah
Perikatan Nasional (PN) yakin Kedah, Kelantan dan Terengganu berada dalam genggaman mereka pada pilihan raya negeri (PRN) nanti dan kini Selangor menjadi tumpuan kerana didakwa mampu mempengaruhi pentadbiran Persekutuan.
Bersama wartawan, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, DATUK ABDUL RASHID ASARI berkongsi harapan parti itu dalam PRN nanti.
Kenapa Selangor begitu penting kepada PN?
Oleh kerana Selangor boleh menyumbang begitu besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), secara tidak langsung mempengaruhi negeri-negeri lain untuk mencontohinya bagaimana membangunkan negeri. Selangor menjadi tumpuan atas sebab kemajuan yang dilakukan dari dahulu lagi.
Apakah kekuatan PN dari sudut jentera dan keanggotaan di peringkat akar umbi negeri ini?
Kita bercakap tentang PN. Kita sebuah parti baharu, Pas sudah 60 tahun, jadi logiknya mereka mempunyai tenaga jentera yang ramai. Tetapi, apabila datang kepada PN, kita semua bersatu padu. Melengkapi satu sama lain.
Bagaimana pertembungan dua gergasi pada PRN Selangor memberi kelebihan kepada PN terutama Bersatu?
Walaupun mereka besar, kita ingat balik sejarah Islam dalam peperangan Badar, tentera Islam ada 300 orang, tentera musuh ada ribuan orang, tetapi mereka berjaya kerana perpaduan, kesatuan, jadi kalau itu yang kita kekalkan sekarang, insya-Allah kita boleh lawan besar mana pun partinya.
Siapa pemimpin yang hendak ditonjolkan oleh PN pada PRN Selangor?
Sekarang kita buat kerja, kita tidak tonjolkan calon kerana belum diputuskan. Apabila diumumkan baru kita bergerak sebagai calon, tetapi buat masa ini sebagai pasukan kita bekerja. Masih terlalu awal sebut tentang calon.
Apakah titik persamaan yang mewujudkan hubungan harmoni Bersatu bersama Pas?
Pertama sekali kejujuran antara pemimpin PN, pada saya itu kuncinya. Kalau kita tidak jujur tidak akan menjadi kuat, bersatu padu, kita akan bertelagah dan akhirnya parti akan hancur. Kedua, corak pemimpin atasan yang menunjukkan sikap toleransi, sikap itu turun ke peringkat bawah dan kita dilatih sebegitu. – UTUSAN










