Kadar elaun lebih masa pegawai perubatan dibawa ke JPA, MOF

Kadar elaun lebih masa pegawai perubatan dibawa ke JPA, MOF

Isu kadar elaun kerja lebih masa pegawai perubatan akan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk penambahbaikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bayaran elaun pegawai perubatan terutama bagi tugas lebih masa atau on call diakui amat rendah dan perlu ditambah baik mengikut kadar sebenar yang sepatutnya dibayar setimpal dengan kepakaran mereka.

Apatah lagi kadar itu sebagaimana difahamkan, tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lalu dalam situasi rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, isu itu menjadi tekad beliau dalam usaha memperjuangkan kebajikan semua petugas kesihatan yang bertungkus-lumus dalam menguruskan sistem kesihatan negara.

Beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewa­ngan (MOF) untuk meneliti dan memperhalusi segala cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan.

“Kita akan menilai balik termasuk semua isu-isu lain yang berkaitan kebajikan petugas kesihatan.

“Saya akan berusaha untuk membawa perkara ini ke perhatian JPA dan MOF,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan isu elaun pegawai perubatan terutama bagi tugas lebih masa atau on call sangat rendah jika dibanding dengan upah kepada pekerja bukan profesional lain.

Mereka cuma dibayar RM9.16 sejam, iaitu lebih rendah berbanding elaun lebih masa pekerja restoran makanan segera sekitar RM10 sejam atau upah pembersih rumah RM20 sejam.

Elaun itu dibayar jika mereka dipanggil bekerja pada hari cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum dan mereka hanya menerima ‘harga’ itu atas pengorbanan dan kehilangan masa bersama keluarga.

Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Ab­dul Razak membangkitkan isu pendapatan yang tidak se­timpal dengan kepakaran dan beban tugas punca ramai pegawai perubatan enggan mendalami bidang menjadi doktor pakar.

Katanya, gaji doktor pakar dalam perkhidmatan awam tidak bersandar kepada kecekapan individu, tetapi lebih bergantung kepada gred, malah kenaikan gred dan pangkat dibuat mengikut kekananan seseorang pegawai perubatan itu.

Di sektor perubatan swasta, gaji doktor pakar bermula RM50,000 sehingga mencecah RM100,000 bergantung kepada jumlah pesakit dan kepakaran dimiliki.

Malaysia hanya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di kira-kira 70 hospital daripada 145 hospital kerajaan di seluruh negara.

Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya pakar kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), perubatan paliatif (kanser), perubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik (sakit puan) dan ginekologi serta psikiatri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×