LANGKAWI: Pesawat Sukhoi SU-30 yang diterbangkan pasukan Russian Knight antara yang menjadi tumpuan persembahan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).
Deruman enjin jet tempur yang terbang di ruang udara Langkawi itu membingitkan telinga pengunjung terutama orang ramai yang berada berhampiran landasan.
Ketua Pusat Pertunjukan Pesawat Tentera Udara Rusia, Kolonel Andrey Alekseev berkata, Russian Knight gembira untuk kembali buat kali kelima bersama Sukhoi SU-30 selepas mereka menggunakan SU-27 pada edisi sebelum 2013.
“Kami mempunyai 20 hingga 25 aksi aerobatik untuk dipersembah kepada penonton sepanjang LIMA ‘23.
“Malah, tugas kami juga adalah menunjukkan teknologi penerbangan Rusia serta mempromosikan peralatan penerbangan negara kami kepada pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui.
Alekseev berkata, pasukannya mempunyai 10 juruterbang yang mana enam daripadanya beraksi untuk setiap persembahan dengan empat juruterbang gantian.
“Kali terakhir kami berada di sini adalah pada 2019 dan berasa gembira dapat kembali ke sini serta selesa sepanjang di sini.
“Saya juga amat berbangga kerana dapat terbang di ruang udara Malaysia. Malah, penganjur juga mengendalikan pameran dan persembahan aerobatik yang amat baik,” katanya. – UTUSAN










