Pekerja kilang maut dihempap forklift - Utusan Malaysia

Pekerja kilang maut dihempap forklift

poster kemalangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pekerja warga Pakistan maut selepas dihempap jentera forklift dekat sebuah kilang pemprosesan kertas di sekitar Pulau Indah di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 20 tahun berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi kenyataan berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa memandu forklift itu secara mengundur dengan laju.

“Lelaki yang turut menaikkan fork pada aras tertinggi itu kemudian membuat pusingan U secara mengejut. Ia kemudian menyebabkan forklift itu terbalik dan menghempap badan mangsa,” katanya hari ini.

Menurutnya, JKKP mengeluarkan notis  pembaikan untuk membuat perancangan secara berkala di kawasan tempat kerja kepada kilang tersebut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan itu. Tindakan perundangan juga akan diambil jika didapati berlaku perlanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan mengenalpasti terlebih dulu risiko atau bahaya di kawasan mereka.

“Kemalangan boleh dielak menerusi pelaksanaan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya