Pantau daging import dari negara tiada perakuan JPV

Pantau daging import dari negara tiada perakuan JPV

CONTOH logo pengesahan halal dan perakuan JPV yang dicetak pada setiap daging import yang diluluskan untuk dibawa masuk ke Malaysia. – IHSAN JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan daging import dari negara yang tidak mempunyai perakuan Jabatan Perkhidmatan Vete­rinar (JPV) bukan sahaja me­nimbulkan persoalan dari segi status kehalalannya tetapi juga ancaman kepada kesihatan ma­syarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, daging berkenaan mungkin mempunyai virus atau penyakit seperti lembu gila dan virus nipah.

“Satu perkara yang timbul adalah daging dari 19 buah negara itu disekat atau sudah masuk ke pasaran secara haram, perkara ini harus dipandang berat oleh pihak kerajaan,’’ katanya yang tidak menolak kemungkinan daging dari negara berkenaan sudah terlepas ma­suk ke Malaysia.

“Saya menyeru pihak kerajaan sentiasa memantau dan mengawal ketat ke atas daging yang diimport dari luar negara.

“Daging yang diimport ma­suk dari rumah sembelihan yang tidak mempunyai kelulusan audit JPV, keselamatannya menjadi satu persoalan kepada pengguna negara ini,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, hanya lapan daripada 27 negara yang diaudit rumah sembelihan memperoleh perakuan JPV untuk membawa ma­suk daging import ke negara ini.

Sumber agensi berkenaan berkata, negara-negara tersebut adalah India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Argentina.

Beliau menggesa JPV atau pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup segera menjalankan siasatan dan pemantauan memastikan semua daging import di pasaran adalah dari negara yang telah lulus audit JPV.

Jelas Nan Sang, tindakan hukuman ketat juga wajib dikenakan ke atas syarikat yang mengimport daging dari negara-negara atau rumah sembelihan luar negara yang tidak diluluskan pengauditan JPV.

Malah, katanya, penggantu­ngan lesen pengimport juga perlu dikenakan.

“Daging import yang tidak berkelulusan JPV satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, kerajaan perlu menerangkan tempoh yang diberi kepada pusat penyembelihan di negara-negara yang hilang daripada senarai sebelum ini untuk memperbaiki prestasi agar mencapai piawaian yang ditetapkan.

Katanya, ia penting bagi memastikan permintaan daging import dalam negara kekal mencukupi bagi mengelakkan berlakunya kekurangan stok sehingga menyebabkan harga da­ging meningkat.

“Kerisauan adalah kita negara banyak makan daging dan kita juga pengguna daging yang tinggi, Jadi, kalau hanya tinggal sembilan negara, maka, kita risau bilangan daging dibawa masuk tidak

mencukupi dan tidak dapat menampung permintaan dalam negara,” kata­nya.

Tarmizi berkata, CCC Malaysia juga mengharapkan kerajaan dapat memantau daging yang tidak diperakui ini daripada dibawa masuk terutamanya dalam pasaran gelap.

“Hal ini bagi mengelakkan pasaran gelap daging meningkat dan mungkin boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×