Lelaki maut dengan empat das tembakan di kepala - Utusan Malaysia

Lelaki maut dengan empat das tembakan di kepala

Tembakan
ANGGOTA polis menutup mayat mangsa tembakan dalam satu kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom di Kuala Langat, Selangor, pada 18 Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang lelaki maut dengan empat kesan tembakan pada bahagian kepala dalam satu kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, di sini, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian tembakan daripada seorang anggota sukarelawan polis kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, pengadu sedang membuat rondaan keselamatan di balai polis berkenaan dan mendengar beberapa letupan kuat berhampiran kawasan berkenaan sebelum mendapati seorang lelaki warga tempatan terbaring dekat bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah.

“Unit Forensik Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hadir dan menemukan lima kelongsong peluru di kawasan sekitar tempat kejadian. Pemeriksaan ke atas mangsa juga didapati terdapat empat kesan tembakan di bahagian kepala.

“Polis membuat pemeriksaan awal dan mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala. Pihak Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang hadir dan sahkan mangsa mati di tempat kejadian akibat daripada pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan menambah, siasatan polis turut mengesan mangsa berusia 39 tahun, merupakan warga tempatan dan mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis sedang giat mengesan suspek terlibat dan menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya