PETALING JAYA: Perniagaan dimonopoli warga asing di negara ini terutama warga Bangladesh dipercayai kerana kemudahan sumber kewangan yang membolehkan mereka membuka perniagaan sendiri di Malaysia termasuk pinjaman dari bank bank di Dhaka.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pengusaha kedai runcit di Pulau Meranti, Puchong warga Bangladesh dikenali sebagai Mohin, 28 berkata, dia bersama seorang rakan memperoleh
modal permulaan mengusahakan kedai runcit melalui pinjaman bank di negara asalnya.
Dalam masa sama, dia mengakui mendapat modal daripada rakan senegara lain yang menetap dan bekerja di sekitar Puchong termasuk bantuan wang ringgit serta bekalan barangan runcit.
Ujarnya, dia menyewa sebuah rumah milik penduduk tempatan di Pulau Meranti dengan harga RM800 sebulan untuk dibangunkan sebagai kedai runcit bagi membekalkan barangan keperluan asas kepada warga asing sekitar kawasan itu.
“Saya tiba di Malaysia sejak 2018. Pada waktu itu, abang saya sudah lama bekerja kilang di Malaysia, jadi dia pelawa saya berhijrah dari Bangladesh ke negara ini. Maka pada 2018, saya berurusan dengan agen di Dhaka membayarnya RM10,000 untuk menguruskan pasport.
“Apabila tiba di Malaysia, agen lain warga tempatan menguruskan urusan permit kerja dan saya membayar RM10,000 juga. Dengan modal yang besar yang saya sudah laburkan sebanyak RM20,000 jadi saya rasa saya mahu berniaga untuk mendapatkan pulangan semula,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Mohin berkata pada 2018 dia digajikan oleh sebuah syarikat beralamat di Shah Alam dengan upah RM1,500 sebulan sebagai buruh binaan.
“Pada Ogos, 2022 saya balik semula ke Bangladesh kerana kontrak tamat. Kemudian pada 15 Disember, 2022 saya datang semula ke Malaysia setelah mendapatkan pinjaman dari bank di Dhaka, Bangladesh berjumlah RM25,000,” katanya.
Mohin berkata, banyak bank berpusat di Dhaka yang menawarkan pinjaman kepada warga Bangladesh yang berhijrah ke Malaysia, dengan kadar pinjaman berbeza.
“Kalau itu Bangladesh di Malaysia mahu bisnes, bank di Dhaka ada menawarkan pinjaman. Dalam kes saya, saya mendapatkan pinjaman berjumlah RM25,000.
“Saya dikehendaki membayar ansuran bulanan pinjaman yang dibuat dengan kadar yang ditetapkan. Wang pinjaman dari bank di Dhaka itu boleh dikeluarkan di Malaysia melalui mana-mana bank tempatan, sama ada dalam bentuk ringgit mahupun dolar Amerika Syarikat (AS),” kata Mohin.
RANGKAIAN DENGAN ORANG TEMPATAN
Di Pulau Meranti juga, Utusan Malaysia turut menemubual seorang pekerja warga Rohingya yang enggan dinamakan, yang digajikan oleh ahli perniagaan Bangladesh di Malaysia bernama Jamal.
Dedah sumber, Jamal yang kini menguasai berpuluh ekar kebun sekitar Selangor termasuk di Banting, Ulu Yam, Pulau Meranti pada peringkat awal, bekerjasama dengan warga tempatan dipercayai kakitangan agensi kerajaan untuk mengusahakan kebun sayur.
Katanya, pada peringkat awal Jamal memperolehi pendapatan dengan membantu seorang pegawai kerajaan menguruskan sebuah kebun di Selangor.
“Sejak itu, Jamal mahir selok-belok mengusahakan kebun dan setelah mempunyai modal terkumpul, dia mula mencari dan memajak tanah-tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk diusahakan sebagai kebun sayur.
“Jamal takut sejak laporan akhbar mendedahkan dominasi warga asing di Pulau Meranti. Selepas pendedahan itu, dia bersama seorang warga Indonesia bernama Lasuwi dan seorang warga tempatan, kumpul wang berjumlah RM100,000 didakwa untuk disogok kepada individu tertentu di sebuah agensi kerajaan,” katanya.
Kata sumber, Jamal majikan yang baik dan tidak berkira soal gaji malah sentiasa membayar gaji kepada pekerjanya tepat pada waktu.
“Dia ada 20 pekerja semua warga asing terutama Bangladesh dan Rohingya. Soal gaji, dia tak pernah tipu pekerja.
“Cuma, saya tidak tahan dengan sikap pekerja Bangladesh lain yang tidak solat Jumaat, tidak berpuasa dan tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sepenuhnya sebab itu saya berhenti kerja dengan Jamal. Tapi, baru-baru ini saya demam berpanjangan, Jamal beri saya pinjam RM1,000 untuk duit makan dan beli ubat,” katanya.










