PETALING JAYA: Semakin ramai golongan belia dan dewasa terjerumus dalam sisi gelap media sosial iaitu fenomena Darkside (DS) sehingga sanggup menjual gambar dan video lucah masing-masing bagi menawarkan servis tidak bermoral sama ada untuk mendapat duit atau memuaskan nafsu sendiri.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, kegiatan DS berleluasa di platform Twitter sehingga mendatangkan kebimbangan wujudnya jenayah seksual yang semakin menular di media sosial tersebut.
Malah, individu-individu yang terlibat dalam sisi gelap tersebut giat melakukan promosi pelbagai servis, antaranya menyediakan kumpulan sembang khas di aplikasi Telegram bagi menyebarkan gambar dan video tidak bermoral dengan bayaran serendah RM80.
Sekiranya akaun-akaun itu mendapat 10 langganan untuk satu hari, ia membawa mereka keuntungan sekitar RM800 dan jika jumlah langganan konsisten selama sebulan mereka mampu meraih sehingga RM24,000.
Selain itu, akaun-akaun DS juga giat menawarkan servis panggilan video seks dan seks dengan jumlah bayaran tertentu untuk menarik ‘si miang’.
Difahamkan kegiatan tersebut bukan sahaja melibatkan para pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti tempatan mahupun swasta tetapi juga melibatkan golongan sudah bekerja serta profesional.
Ketua dan Kaunselor Berdaftar di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, akaun DS digunakan untuk memaparkan sisi gelap individu seperti penyebaran maklumat, gambar dan video yang berunsurkan lucah serta dilakukan tanpa paksaan tetapi suka sama suka.
Kata beliau, individu yang terjerumus ke penggunaan akaun tersebut didapati bermula dengan sesi perkenalan iaitu ‘sexting’ – menghantar mesej berunsur lucah kepada orang tidak dikenali dan kemudian berakhir di ranjang.
Menurutnya, platform DS juga dikenali sebagai pelacuran era moden iaitu mereka boleh mendapatkan khidmat seks secara percuma dengan bertukar-tukar pasangan atau secara berbayar.
“Ini berbeza dengan e-pelacuran, di mana ia adalah aktiviti penjualan diri atau pelacuran secara dalam talian melalui aplikasi WhatsApp, WeChat dan Twitter. Walaupun dari sudut definisi kedua-duanya agak berbeza, ia turut menjurus kepada pelacuran diri dan ditakuti sekiranya aktiviti ini tidak dibendung.
“Ia akan berleluasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehingga menyebabkan runtuhnya akhlak, selain mengakibatkan individu terlibat dijangkiti penyakit kelamin akibat aktiviti seks,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Statistik tahun 2021 Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa terdapat 77 peratus golongan yang berusia di antara 20 tahun hingga 39 tahun terlibat dengan HIV yang berpunca daripada kegiatan seks bebas, hubungan sejenis, penggunaan dadah dan jarum suntikan sama selain beberapa faktor lain.
Mengulas statistik tersebut, Dr. Azmawaty berkata, kegiatan seks bebas yang terhasil dari platform DS ini perlu diambil peduli dan memerlukan tindakan pencegahan awal supaya tidak ramai terjerumus ke dalam dunia tersebut.
Jelasnya, penggunaan akaun DS tidak hanya terhad kepada golongan perempuan tetapi juga melibatkan golongan lelaki mahupun yang mempunyai nafsu sejenis dan seumpamanya, baik remaja atau dewasa.
“Orientasi seksual atau kecenderungan seksual bukanlah ditentukan berdasarkan penampilan mahupun perwatakan sebaliknya merujuk kepada corak tarikan romantik dan seksual yang berkekalan kepada orang berlainan jantina atau jantina yang sama atau kedua-duanya atau lebih daripada satu jantina.
“Tarikan-tarikan ini secara amnya termasuk di bawah heteroseksual, homoseksual dan biseksual, manakala aseksualiti pula adalah kurangnya tarikan kepada mana-mana jantina kadangkala dikenal pasti sebagai kategori keempat dan kecenderungan seksual ini bukan sahaja dalam kalangan perempuan tetapi juga dalam kalangan lelaki,” katanya.
Beliau berpendapat, penyertaan kepada kegiatan tersebut semakin meningkat berpunca daripada keterbukaan pengaksesan media sosial yang terlalu liberal.
Ini sehingga membuka peluang kepada pemilik akaun DS menggunakan platform bagi meraih keuntungan melalui penjualan video, gambar lucah mahupun penawaran servis seks.
Malah, katanya, ketiadaan kawalan maklumat yang dilakukan oleh negara kita dalam mengawal kemasukan teknologi dalam bidang media sosial sehingga boleh memaparkan elemen-elemen soft porn lalu membuat anak-anak muda ingin ‘bereksperimen’.
“Jadi memandangkan aktiviti mereka seakan sama pemerdagangan manusia cuma bezanya menggunakan diri sendiri. Wajar untuk pihak bertanggungjawab mengambil tindakan menangani fenomena ini dalam kalangan generasi baru dengan melakukan pengawasan yang lebih ketat dalam pengaksesan media sosial.
“Mungkin undang-undang melibatkan jenayah seksual secara dalam talian ini juga boleh ditambah baik atau digubal dengan menggariskan pelan tindakan yang jelas bagi menangani jenayah seksual dalam kalangan anak muda.
“Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat tentang aktiviti dilakukan anak-anak mereka dan guru di sekolah perlu memainkan peranan penting iaitu memastikan mereka ni didedahkan bahayanya penggunaan gajet serta ‘grooming secara seksual’ di media sosial,” jelasnya.
Tambah Dr. Azmawaty, sekiranya fenomena DS yang menjadi tempat untuk mereka melampiaskan nafsu itu tidak dihapuskan selain mendorong kepada peningkatan kes pembuangan bayi, penyakit kelamin dan kes pornografi, ia juga menyebabkan perubahan tingkah laku agresif serta ketagihan seks siber.
“Perkara ini juga telah banyak berlaku dalam kalangan pasangan yang sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga, fenomena DS ini menyebabkan berlakunya pergaduhan, pengabaian anak, perceraian serta mungkin boleh mendorong kepada berlakunya jenayah seksual dalam kalangan suami isteri.
“Sexual grooming banyak berlaku dalam kalangan orang dewasa terhadap anak-anak remaja yang dahagakan kasih sayang. Mereka ini sanggup dibayar untuk mendapatkan kehidupan lebih baik sehingga wujudnya fenomena sugar mummy dan sugar daddy,” ujarnya. – UTUSAN










