PETALING JAYA: Sebanyak 31 daripada 435 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang beroperasi pada 2021 ditutup dalam tempoh dua tahun dan kini menjadikannya berkurangan kepada 404 sahaja.
Berdasarkan senarai daftar IPTS dikeluarkan Jabatan Pengajian Tinggi setakat 30 April lalu, 404 pusat pengajian yang masih beroperasi adalah merangkumi 10 kampus cawangan universiti luar negara, 34 kolej universiti swasta, 57 universiti swasta dan 303 kolej swasta.
Antara IPTS terkesan adalah Kolej Olympia Kuala Lumpur, Kolej Kota di Jalan Kampung Pandan dan Institut Teknologi dan Pengurusan Lebuh Victoria Pulau Pinang.
Malah, jumlah kemasukan pelajar juga merosot dalam tempoh empat tahun sejak 2018 hingga 2021 iaitu daripada 202,949 orang kepada 164,760 pelajar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa menjelaskan, penutupan operasi menjadi faktor pengurangan bilangan IPTS setelah pihak pengurusan berdepan masalah kewangan untuk menampung kos pengurusan.
Katanya, kemerosotan pendaftaran pelajar dan penarikan lesen kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan juga mendorong penutupan IPTS.
Bagaimanapun jelas beliau, proses penutupan institusi pengajian swasta bukan satu perkara mudah kerana terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran kerajaan sebelum dibenarkan menghentikan operasi di bawah Akta IPTS 1996.
“Kementerian Pendidikan Tinggi perlu dimaklumkan berkenaan punca penutupan dan langkah susulan yang bakal diambil pihak pengurusan terhadap pelajar sedia ada bagi mengelakkan mereka daripada terumbang-ambing untuk meneruskan pengajian.
“Saya berpandangan kewangan adalah antara faktor penutupan IPTS yang berlaku lebih awal lagi sebelum pandemik Covid-19. Namun akibat berlaku penutupan pintu sempadan dan pengurangan kemasukan pelajar telah menambahkan masalah ini sekali gus memaksa ia ditutup,” katanya.
Ditanya sama ada penutupan itu memberi kesan kepada status kelayakan akademik graduan, Amir Hamzah berkata, kursus berdaftar yang dikendalikan sepanjang tempoh pendaftarannya adalah sah sekali gus mereka boleh menggunakan sijil sama ada untuk memohon kerja atau menyambung pengajian.
Katanya, pelajar sedia ada pula dipindahkan ke pusat pengajian lain yang menawarkan kursus sama.
“Sehubungan itu, pihak kementerian memainkan peranan utama berhubung soal penutupan IPTS kerana perlu mengetahui langkah susulan yang diambil pihak kolej agar pengajian pelajar tidak terjejas,” katanya,
Pada masa sama, Amir Hamzah mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semula pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 kategori M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.
Katanya, inisiatif itu masih belum dilaksanakan meskipun telah diumumkan pada September tahun lalu.
“Selain itu, kami mencadangkan agar pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diperluaskan kepada pelajar diploma berbanding kini hanya ditawarkan kepada ijazah sarjana muda sahaja.
“Mungkin usaha ini boleh dapat difokuskan kepada bidang-bidang kritikal seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional,” katanya. – UTUSAN










