200 bomba bertugas sempena LIMA ‘23 - Utusan Malaysia

200 bomba bertugas sempena LIMA ‘23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menempatkan seramai 200 pegawai dan anggota di Langkawi bagi melakukan persiapan rapi sempena Pameran Antarabangsa Mari­tim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, selain Kedah, pihaknya turut mendapatkan khidmat pegawai dan anggota dari Perlis, Pulau Pinang dan Put­rajaya bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan.

“JBPM akan lebih banyak terlibat dalam aspek mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebanyak 20 peratus pegawai dan anggota terlibat akan mula masuk ke Langkawi pada 17 Mei ini untuk persiapan awal selain membawa masuk pelbagai aset logistik. Selebihnya akan memasuki Langkawi pada 21 Mei,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka JBPM Kedah yang dihadiri seramai kira-kira 1,000 pegawai, anggota serta ahli keluarga di Ibu pejabat JBPM Kedah di Jalan Suka Menanti di sini.

LIMA ‘23 bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aero­angkasa Asia’. Kali terakhir pameran dwi tahunan itu dianjurkan adalah pada 2019.

Jelasnya, JBPM juga bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan peralihan monsun ketika ini.

“Dalam keadaan sekarang, cuaca tidak menentu. Sekejap hujan dan sekejap panas. Bagaimanapun keadaan cuaca tidak terlalu ekstrem. Memang kadangkala berlaku kebakaran belukar akibat cuaca panas namun masih dalam kawalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya