LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa semakin baik saban tahun sejak edisi kali pertama diadakan pada tahun 1991.
Menurutnya, perkara itu dapat dilihat melalui penambahbaikan pameran dan persembahan pasukan yang terlibat dalam kedua-dua sektor iaitu aeroangkasa dan maritim.
Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengharapkan penganjuran pameran dwi tahunan tersebut dapat diteruskan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini pada edisi akan datang.
“Saya percaya LIMA akan berkembang pada masa hadapan, saya juga berharap kerajaan Malaysia akan kekalkan LIMA,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi Anugerah Maritim dan Aeroangkasa Global IBR 2023 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi malam tadi.
Beliau turut menghadiri majlis penutup LIMA 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anugerah berkenaan yang julung kali diadakan diberikan untuk menghargai individu yang berdedikasi dalam mempromosikan industri aeroangkasa dan maritim selain telah membawa sektor itu ke tahap lebih tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berkata, idea dan objektif utama penganjuran LIMA ketika beliau sebagai Perdana Menteri keempat adalah untuk mengangkat industri pelancongan negara.
“Sebelum edisi pertama 1991 saya baca berkenaan Singapura, mereka ada pertunjukan udara dua tahun sekali, saya dapati persembahan ini amat menarik dan akan tolong industri pelancongan.
“Pameran kita awalnya kecil sahaja tetapi sambutan baik, ramai datang dan LIMA menjadi daya tarikan kepada pelancongan dan promosi bagi sektor aeroangkasa dan maritim di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










