Penganjuran LIMA ‘23 paling berjaya, rekod RM17.6 bilion urus niaga

Penganjuran LIMA ‘23 paling berjaya, rekod RM17.6 bilion urus niaga

ORANG ramai membanjiri ruangan pameran statik sempena LIMA '23 di MIEC, Padang Matsirat di Langkawi. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak RM17.6 bilion nilai urus niaga direkodkan sepanjang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) melibatkan industri pertahanan dan komersial.

RM10.128 bilion daripada jumlah itu merupakan 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima (SST) dan dua surat niat yang turut melibatkan perolehan beberapa aset pertahanan baharu di bawah Kementerian Pertahanan.

Manakala baki RM7.5 bilion lagi merupakan urus niaga di bawah Kementerian Pengangkutan bagi sektor komersial antaranya perjanjian melibatkan SKS Airways Sdn. Bhd.; Azorra Aviation Holdings LLC dan Embraer Asia Pacific Pte Ltd yang bernilai RM2 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan LIMA ’23 sebagai penganjuran paling berjaya setakat ini kerana selain memuktamadkan urus niaga tersebut, ianya turut menarik penyertaan tertinggi melibatkan 525 pempamer tempatan dan luar negara.

“LIMA 2025 dijangka akan mampu menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, kita berhadapan kekangan daripada segi logistik bagi menyediakan lokasi pameran.

“Maka, kita akan memohon agar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperluas ruang pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) ini memandangkan banyak juga syarikat yang menyertai LIMA mempunyai kepakaran dalam kedua-dua segmen maritim dan aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke merasmikan majlis penutup edisi ke-16 LIMA ‘23 yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad di MIEC, hari ini.

Mohamad berkata, terdapat sekurang-kurangnya 20 buah syarikat terlibat dalam menyediakan teknologi bagi kedua-dua segmen berkenaan. 

“Jadi sekiranya pempamer dipisahkan mengikut segmen, maka ianya akan menyukarkan urus niaga syarikat yang dimaksudkan,” katanya.

Tambah beliau, selain kejayaan yang terpamer secara fizikal, LIMA ’23 juga menyuntik pembangunan bakat bagi industri maritim dan aeroangkasa pada masa hadapan.

“Ketika saya meronda sekitar MIEC dan bertemu anak kecil yang hadir, rata-ratanya mahu menjadi juruterbang atau terlibat dalam kerjaya maritim. Ini tandanya LIMA ’23 berjaya membentuk minat dalam kalangan generasi muda sebagai kerjaya masa depan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya