SMK Seri Teja Gopeng menang pertandingan sains antarabangsa - Utusan Malaysia

SMK Seri Teja Gopeng menang pertandingan sains antarabangsa

CHANG Lih Kang (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek RM5,000 kepada Khairulniza Khairuddin pada Majlis Penyerahan Insentif Galakan MOSTI kepada SMK Seri Teja di Ipoh semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Teja, Gopeng menang pingat emas pertandingan Pameran Sains Antarabangsa Belia di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Sekolah tersebut muncul pemenang menerusi penghasilan pot semaian mesra alam yang dikenali sebagai Savase.

Inovasi Savase merupakan bekas semaian mesra alam, menggantikan plastik polybag yang dilengkapi sistem siraman automatik dan berupaya mengesan kelembapan tanah serta mengeluarkan emoji senyum atau sedih serta bunyi jika tanah lembap atau kering.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian terbesar sekolah itu, sekaligus mengharumkan nama negara.

Menurutnya, kejayaan SMK Seri Teja selaras dengan hala tuju negara dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Dengan kejayaan ini, SMK Seri Teja akan menyertai Minggu Sains Negara dan Techlympic tidak lama lagi dengan tawaran hadiah yang menarik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada penyerahan Insentif Galakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada SMK Seri Teja di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja yang juga Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Pengetua SMK Seri Teja, Khairulniza Khairuddin.

Pada majlis berkenaan Lih Kang menyampaikan insentif galakan sebanyak RM5,000 kepada SMK Seri Teja.

Sementara itu, Lih Kang berkata, MOSTI akan membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi pencipta inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk hasil ciptaan dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, banyak idea dan inovasi yang dihasilkan oleh pelajar sekolah berpotensi untuk dipatenkan melalui pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Penghasilan pelbagai inovasi ini selaras dengan usaha kerajaan dalam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi bukan sekadar negara pengeluar teknologi pengguna, menjelang tahun 2030.

“Ada beberapa peringkat dimulai dengan peringkat idea dan apabila matang sikit, ada prototaip dan sekiranya ada idea yang boleh dikomersialkan memang ada kemungkinan MOSTI akan membantu untuk daftar IP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya