KUALA LUMPUR: Berlaku ketidakseimbangan dalam taburan tenaga penyelidik negara apabila majoritinya masih tertumpu di universiti serta institut penyelidikan awam.
Menteri Sains. Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, keadaan itu menyebabkan kadar penyerapan penyelidik dalam sektor industri kekal sederhana sekali gus menjejaskan usaha menterjemahkan hasil penyelidikan kepada aplikasi komersial serta impak sosial yang nyata.
Menurutnya, ketidakseimbangan tersebut perlu ditangani segera melalui kolaborasi lebih erat antara penyelidik dan industri bagi mewujudkan ekosistem inovasi yang lebih dinamik serta berdaya saing.
“Ekosistem penyelidikan negara perlu berubah daripada pendekatan berasaskan hasil makmal kepada pendekatan berpaksikan keperluan industri bagi memastikan penyelidikan memberi manfaat terus kepada ekonomi negara.
“Jurang ini mesti ditutup segera. Penyelidikan bukan sekadar menghasilkan penemuan baharu tetapi perlu diterjemahkan kepada bentuk penyelesaian sebenar yang memberi kesan kepada masyarakat dan memperkukuh daya saing negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2024 dan 2025 bagi meraikan 32 saintis terkemuka Malaysia di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di sini, hari ini. – UTUSAN










