Malaysia perlu lahirkan lebih ramai bakat STEM

Malaysia perlu lahirkan lebih ramai bakat STEM

CHANG Lih Kang (lapan kiri) bergambar bersama para pemenang Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri dan syarikat pemula perlu terus diperkukuh.

Katanya, idea yang lahir di sekolah perlu dikembangkan menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.

“Malaysia memerlukan lebih ramai bakat STEM bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“Sebab itu, kita mesti terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

Perdana Menteri berkata, guru memainkan peranan amat besar dalam usaha tersebut kerana mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda.

Katanya, Piala Pusingan YAB Perdana Menteri bukan sekadar sebuah trofi kemenangan, sebaliknya membawa mesej bahawa negara meletakkan kecemerlangan dalam sains pada kedudukan tinggi.

“Ia membawa mesej bahawa keberanian untuk mencuba merupakan sebahagian daripada watak bangsa yang ingin maju,” katanya.

Tambah Anwar, NSC bukan sekadar pertandingan untuk menentukan peserta yang paling banyak mengetahui fakta, tetapi menjadi ruang membina keberanian berfikir dan bekerja dalam pasukan.

Katanya, pertandingan itu turut melatih peserta menguji idea, mempertahankan bukti dan belajar daripada kegagalan.

“Jika sesuatu percubaan tidak berjaya, jangan melihatnya sebagai kegagalan yang mematahkan semangat. Dalam sains, kegagalan ialah sebahagian daripada proses menemukan jawapan.

“Kepada para peserta, jangan takut untuk gagal. Takutlah jika kita berhenti mencuba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×