Mosti mahu lahirkan pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia

Mosti mahu lahirkan pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) sedang rancak menyediakan ekosistem sains bagi melahirkan pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, program berkenaan merupakan harapan pihaknya untuk melahirkan saintis muda yang mampu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia satu hari nanti.

“Fokus Mosti sekarang adalah bagaimana untuk merancakkan ekosistem sains dalam negara kita. Kami (Mosti) juga tidak meletakkan apa-apa sasaran kerana tidak realistik.

“Selain itu, sekarang kita juga menghadapi kekurangan pelajar yang terlibat dalam aliran pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya kepada pemberita sempena Syarahan Pemenang Anugerah Nobel oleh Sir Paul Nurse di Menara Matrade di sini.

Menurut Lih Kang, Mosti berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran di mana penyelidikan dan inovasi yang berinovatif dapat berkembang maju, justeru meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang STI.

Jelas beliau, ketika ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menerusi universiti tempatan sedang melaksanakan inisiatif dalam memupuk pemikiran pemenang Anugerah Nobel, berpandukan laporan kajian yang bertajuk “Achieving Excellence in Science – the Nobel Path,” yang disediakan berdasarkan pengalaman dan pelaksanaan program ini.

Dalam usaha lain, Malaysia, menerusi ASM telah melaksanakan beberapa program seperti penganjuran syarahan, perbincangan saintifik dan sesi motivasi sains oleh Pemenang Anugerah Nobel sejak tahun 1999 hingga 2009.

Selain itu, sejak tahun 2004, Malaysia juga menerusi ASM telah menghantar 84 saintis muda untuk menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.

Menurut Lih Kang, setiap tahun pemenang Nobel dari seluruh dunia berkumpul di Lindau, Jerman untuk membentangkan penemuan penyelidikan dan berkongsi pengalaman mereka bersama saintis muda terpilih dari negara-negara lain yang turut serta.

“Saintis muda yang terpilih berpeluang untuk menghadiri syarahan, berbincang, dan berbual santai bersama pemenang Anugerah Nobel mengikut tema khas pada tahun tersebut.

“Sesi Laureate Lunch menawarkan pertemuan secara lebih dekat dan peribadi bersama Pemenang Anugerah Nobel yang sudi berkongsi pengalaman dan cabaran mereka semasa menjalankan penyelidikan,” katanya.

Dalam majlis itu, ASM bersama Institut Kebangsaan Bioteknologi Malaysia (NIBM) telah menganjurkan syarahan Anugerah Nobel oleh Sir Paul Nurse, penerima Anugerah Nobel 2001 dalam Fisiologi dan Perubatan bagi penemuan pengawal kitaran sel utama.

Syarahan yang bertajuk “What is Life?” (Apa itu kehidupan?) membincangkan lima idea utama biologi, daripada ‘sel’ kepada ‘logik kehidupan.’

Paul Nurse merupakan ahli genetik dan biologi sel yang mengkaji bagaimana kitaran sel eukariotik dikawal adalah pemenang Anugerah Nobel 2001 dalam Fisiologi dan Perubatan telah menerima Anugerah Albert Lasker, Anugerah Gairdner, Anugerah Louis Jeantet dan Pingat Royal Society’s Royal and Copley. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN