PENJENAMAAN semula Tadika Mimos kepada Mimos Junior Academy (MJA) membawa penambahbaikan dengan mengadaptasi satu kurikulum baharu berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Kurikulum ini dirangka khusus untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, dinamik, dan inovatif bagi para pelajar, sekaligus memupuk minat terhadap STEM sejak usia muda. MJA bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pelaksanaan kurikulum baharu ini untuk menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar tadika sejajar dengan aspirasi nasional untuk meningkatkan literasi STEM, sekaligus memupuk generasi masa depan yang celik digital, sains dan teknologi.
Pendekatan pengajaran di MJA termasuk:
Pembelajaran Berasaskan Inkuiri: Menggalakkan rasa ingin tahu melalui soalan dan eksperimen.
Pembelajaran Berasaskan Bermain: Menggunakan permainan untuk membangunkan kemahiran kognitif dan motor.
Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL): Menyelesaikan cabaran dunia sebenar dalam projek jangka panjang.
Integrasi STEM: Mengintegrasikan prinsip STEM dalam kurikulum. Pembelajaran Berasaskan Pengalaman: Pengalaman praktikal seperti lawatan sambil belajar dan eksperimen.
Pembelajaran yang Dipertingkatkan dengan Teknologi (TEL): Menggunakan alat moden untuk masa depan berasaskan teknologi.
Pendidikan STEM adalah satu fokus utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan menyokong inisiatif yang mengintegrasikan pembelajaran STEM dalam pendidikan prasekolah melalui aktiviti interaktif, eksperimen mudah, dan eksplorasi secara hands-on.
Datuk Dr. Aminuddin, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menekankan bahawa pendidikan STEM adalah komponen kritikal dalam membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan. MOSTI berusaha untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang STEM bagi mengatasi jurang kemahiran yang wujud dan memastikan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
MOSTI juga menekankan pentingnya memastikan pendidikan STEM dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40. Inisiatif-inisiatif MOSTI bertujuan menjadikan pendidikan STEM lebih menarik, inklusif, dan relevan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mimos, Dr. Saat Shukri Embong menyifatkan transformasi MJA ini mencerminkan komitmen Mimos untuk melangkah ke hadapan dalam menyediakan pendidikan awal yang lebih holistik dan inovatif.
MJA kini memperkenalkan pendidikan berasaskan STEM sebagai asas kepada pembelajaran kanak-kanak. Ini selaras dengan visi kami untuk Nurturing Future Leaders of Tomorrow. Matlamat utama MJA adalah untuk memupuk rasa ingin tahu, kreativiti, dan pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar prasekolah. Kami percaya bahawa kanak-kanak ini adalah bakal pemimpin yang akan menerajui masa depan yang didorong oleh kemajuan sains dan teknologi. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Putrajaya










