Dua juta batang rokok seludup bernilai RM1.2 juta dirampas - Utusan Malaysia

Dua juta batang rokok seludup bernilai RM1.2 juta dirampas

MOHD. Khairulanuar Abd. Majid (tengah) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak dua juta batang rokok jenama terkenal dipercayai diseludup dari negara jiran berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu di muara Sungai Setiu berhampiran Penarik, Setiu, semalam.

Dalam operasi pada 5.30 pagi itu, tiga anggota sindiket sanggup meninggalkan bekalan rokok bernilai hampir RM1.2 juta itu dan terjun ke tengah laut bagi mengelak diri daripada diberkas.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dikesan berikutan risikan selama beberapa hari.

“Maritim Malaysia Terengganu telah membentuk dua kru yang masing-masing bersiap sedia di perairan dan daratan.

“Pemantuan mendapati tiga suspek telah memasuki muara Sungai Setiu menggunakan bot pancung sebelum memunggah masuk ke dalam sebuah lori yang diletakkan di tebing sungai itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini, hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, ketiga suspek tersebut segera melarikan diri ke arah laut dengan menggunakan bot pancung sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia.

Tambah beliau, kesemua lelaki kemudiannya nekad terjun ke dalam laut berhampiran muara Sungai Setiu bagi memboloskan diri.

“Cuaca gelap dan arus deras menyukarkan usaha anggota Maririm Malaysia untuk menangkap tiga suspek tersebut.

“Pemeriksaan di dalam bot pancung dan lori kemudiannya menjumpai timbunan kotak dibalut dalam plastik hitam yang mengandungi dua juta batang rokok disyaki diseludup,” ujarnya.

Mohd. Khairulanuar berkata, kejayaan serbuan itu telah mematahkan aktiviti penyeludupan rokok secara besar-besaran di perairan Pantai Timur.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, tidak lama selepas serbuan berkenaan, kira-kira 40 kotak mengandungi rokok juga disyaki seludup ditemui terapung di perairan Kelantan berhampiran Pulau Perhentian, Besut.

“Ia dipercayai dibuang sindiket berkenaan setelah menghilangkan bukti setelah usaha mereka untuk menyeludup masuk menerusi jalan laut berjaya dihidu pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya