BEIRUT: Hizbullah menolak dakwaan Damsyik yang mengaitkan kumpulan itu dengan cubaan menyeludup senjata canggih dan peluru berpandu ke Lubnan susulan rampasan satu penghantaran di sempadan Syria-Iraq.
Pihak berkuasa Syria dalam satu kenyataan memaklumkan jabatan berkaitan sedang meneruskan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang bagi mengenal pasti semua individu yang dipercayai terbabit dalam operasi penyeludupan itu.
Pejabat perhubungan media Hizbullah kemudian mengeluarkan kenyataan yang menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan kumpulan itu. Ia menegaskan bahawa pihaknya berulang kali menolak dakwaan menjalankan sebarang aktiviti di wilayah Syria.
Kumpulan berkenaan turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar. Ia mendakwa tuduhan itu direka-reka bagi mencemarkan imej Hizbullah selain memenuhi agenda Israel dan Amerika Syarikat (AS) di rantau tersebut.
Sebelum ini, pihak berkuasa Syria turut mengumumkan beberapa rampasan senjata yang didakwa ditujukan kepada Hizbullah. Namun, pengumuman pada Khamis adalah yang pertama membabitkan sempadan Syria-Iraq.
Menurut Jabatan Kastam Syria, penghantaran itu ditemuikan di dalam sebuah lori tangki minyak di lintasan sempadan Al-Tanf.
Lori tangki itu sedang dalam perjalanan ke bandar Baniyas, di mana pelabuhannya digunakan Iraq sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengeksport sejumlah kecil minyak selepas laluan utama melalui Selat Hormuz terganggu akibat perang di Asia Barat.
Kementerian Dalam Negeri Syria berkata, penghantaran itu mengandungi peluru berpandu jarak jauh, peluru berpandu antikereta kebal dan dron.
Unit media keselamatan kerajaan Baghdad dalam satu kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi mengarahkan satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan. Pihak berkuasa Iraq akan menyelaras tindakan dengan Syria berhubung insiden itu.
Menurut kenyataan tersebut, pihak berkuasa Iraq akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai bagi memastikan keselamatan di sempadan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mencadangkan supaya Syria campur tangan di Lubnan bagi menentang Hizbullah. Namun, Presidennya, Ahmed al-Sharaa menegaskan beliau tidak berminat mengambil tindakan ketenteraan terhadap kumpulan itu. – AFP/AGENSI










