10 hari terakhir Ramadan, Mekah sesak - Utusan Malaysia

10 hari terakhir Ramadan, Mekah sesak

Umat Islam membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan solat Terawih pada 10 malam terakhir Ramadan. - Gambar Ihsan Bazaie Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suasana kota suci Mekah semakin sesak susulan peningkatan jumlah umat Islam dari seluruh dunia yang merebut peluang untuk mengerjakan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Seorang rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah, Bazaie Ahmad berkata, walaupun perayaan itu semakin dekat namun suasananya kurang dirasai berikutan tumpuan umat Islam ketika ini adalah untuk melakukan ibadah.

“Suasana raya di sini memang tidak terasa sebab kebanyakan jemaah yang datang ke sini hanya fokus untuk beribadah.

“Dalam 10 malam terakhir ini, kota Mekah semakin sesak. Kesesakannya adalah sepanjang masa kerana semakin ramai jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia untuk beribadah.

“Dianggarkan lebih 200,000 orang sehari yang mengerjakan umrah dan hampir tiga juta jemaah yang mengerjakan solat Tarawih dan solat Tahjud dalam 10 malam terakhir ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Umat Islam percaya bahawa 10 malam terakhir Ramadan adalah hari-hari penting bagi penganutnya yang mengerjakan ibadah itu akan mendapatkan ganjaran pahala berganda khususnya sewaktu malam ‘1,000’ bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar dikatakan jatuh pada malam ganjil pada hari-hari terakhir Ramadan pada setiap tahun.

Bagaimanapun, Bazaie berkata, terdapat juga jemaah yang mengambil peluang untuk beli-belah kerana harganya yang lebih murah berbanding di Malaysia.

“Kebanyakan yang ada di sekitar Masjidil Haram adalah orang luar, bagaimanapun tidak dinafikan ada yang mengambil kesempatan untuk beli belah terutama pakaian kerana harganya murah.

“Selain itu, terdapat juga pakaian yang pelbagai jenis dan fesyen terbaru. Pembeli-pembeli kebanyakannya adalah kaum wanita termasuk rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×