Tun M mula kritik pentadbiran Anwar

Tun M mula kritik pentadbiran Anwar

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun. Dr. Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat Perdana Menteri itu pada Kong­res Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.

Notis tuntutan itu diserahkan Dr. Mahathir menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.

“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah scoundrel (penyangak) dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya.

“Ini adalah fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.

“Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Jika dahulu dia cakap masa tidak jadi Perdana Menteri tidak apa, tetapi sekarang beliau Perdana Menteri.

Jadi, beliau tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti jelas,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Ahli Parlimen boleh pilih kerajaan lain

Dr. Mahathir juga berpendapat jika kerajaan sedia ada tidak mampu mentadbir dengan baik, maka ahli Parlimennya boleh menjatuhkan kerajaan itu dan memilih kerajaan yang lain.

Menurutnya, situasi itu pernah berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan tindakan itu tidak melanggar undang-undang.

“Pada masa itu, UMNO tidak puas hati dan tarik sokongan menyebabkan Muhyiddin jatuh dan digantikan dengan orang UMNO (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Jadi, hak bagi wakil rakyat memang ada untuk menukar kerajaan dan ini tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Lawatan luar negara: Saya tidak pernah disambut pegawai rendah

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan beliau tidak pernah disambut ‘pegawai rendah’ ketika mana-mana lawatan rasmi ke luar negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Itu jelas Dr. Mahathir ketika mengulas isu lawatan Anwar ke Arab Saudi yang disifatkan sebagai gagal kerana tidak berkesempatan bertemu pemimpin utama negara itu.

“Tidak tahulah kenapa, saya pun tidak faham kenapa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman tidak mahu jumpa Anwar.

“Tetapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tidak tahulah yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa dengan Anwar,” katanya.

Isu rehat dalam politik: Saya tidak perlu ikut kehendak Jomo

Dr. Mahathir turut menolak nasihat diberikan ahli ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram supaya tidak terbabit dalam politik dan menjadi negarawan.

Beliau berkata, itu pendapat peribadi dikeluarkan Jomo dan beliau tidak semestinya mengikut kehendak itu.

“Itu Jomo punya pendapat. Tidak semestinya saya kena ikut kehendak dia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN