KANGAR: Tiga beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya rantai masih diikat pada kaki di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 13 hingga 16 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 11.55 malam yang kemudiannya turut bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, remaja tersebut dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam sebuah rumah oleh ibunya yang tidak bersama mereka.
“Mereka (remaja itu) telah melarikan diri dari rumah dipercayai kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian.Lain-lain maklumat belum diperolehi kerana mereka enggan bercakap,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, sewaktu ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.
Katanya, semakan juga mendapati dua daripada mereka turut memiliki kad orang kurang upaya (OKU).
“Hasil keterangan awal ibu kepada remaja ini menyatakan sikap ketiga-tiga mereka agak sukar dikawal dan kerana itu ibunya bertindak merantai mangsa tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa berada di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, dan dalam keadaan stabil serta tidak menunjukkan sebarang trauma atau ketakutan,” katanya.
Berikutan itu, Yusharifuddin berkata, polis turut menahan seorang wanita dipercayai ibu kepada anak-anak itu bersama seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Tambahnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kedua mereka akan direman selama tujuh hari bermula Sabtu sehingga 31 Mac depan,” katanya.-UTUSAN