PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita selepas disyaki mendera anak kandungnya berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah kediaman di Sentul, di sini.
Penahanan wanita berusia 21 tahun itu dilakukan selepas satu laporan diterima pada 2 Januari lalu kira-kira pukul 10.53 malam mengenai kejadian yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Katanya, mangsa mengalami lebam di bahagian kepala, telinga, mata, badan, tangan, kaki.
“Selain kanak-kanak itu juga kehilangan gigi di depan, luka di bahagian paha kiri dan kanan serta bibir yang kering dan berdarah.
“Suspek telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula Sabtu lalu hingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan berhubung kes masih berjalan,” jelasnya. – UTUSAN










