Rogol anak sebagai ‘balas budi’, bapa durjana dipenjara 105 tahun, 70 sebatan

Rogol anak sebagai ‘balas budi’, bapa durjana dipenjara 105 tahun, 70 sebatan

TERTUDUH berusia 53 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Tawau Sabah selepas dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya. UTUSAN/ NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Perbuatan seorang pengusaha kebun merogol anak sulungnya terbalas apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan ke atasnya, hari ini.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh berusia 53 tahun mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tahanan dan pengawasan pihak polis selama tiga tahun sebaik selesai hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah ini, antara Disember 2025 hingga Mac 2026.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa gagal menolak kemahuan tertuduh kerana sering diungkit dan diingatkan supaya membalas budi selepas tertuduh menanggung segala perbelanjaan keluarga dan kos pendidikannya.

Tertuduh turut meminta jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau bagi melampiaskan nafsunya.

Tertuduh dalam rayuannya memaklumkan dia berasa malu dan takut atas segala hukuman yang bakal diterima, namun reda dengan nasib yang menimpa diri selain memohon dikurangkan hukuman penjara supaya dapat keluar bagi memohon maaf kepada ahli keluarganya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri.

Pendakwaan turut berhujah bahawa kesalahan itu dilakukan secara terancang apabila tertuduh meminta jadual kerja mangsa dan mengarahkannya menempah bilik hotel sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk merogol mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Md Yatin dan Wildan Firdaus Ahmad Fazly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadapnya selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.

Berdasarkan pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu sejak tahun 2016 hingga 2026. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN