Jurutera didakwa rogol anak sendiri  - Utusan Malaysia

Jurutera didakwa rogol anak sendiri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang jurutera mesin di sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 13 tahun, pada Jun lalu.

Tertuduh, yang berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak sulung perempuannya berusia 13 tahun yang mana hubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga bapa lima anak didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan sehingga maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa turut melakukan cubaan rogol terhadap mangsa sama dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 376(b) / 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sama seperti kesalahan merogol.

Sementara itu, dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 kerana melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video seks kepada mangsa.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pertengahan bulan Jun sehingga awal Julai lalu di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai, di sini. 

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah memohon supaya tiada sebarang jaminan dibenarkan dengan mengambil kira mangsa merupakan anak kandung dan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM30,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Nurfarah Amiera Mohd. Azlan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan sebelum Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Elesabet turut mengenakan syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. 

Beliau turut menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya