Polis tahan 13 suspek penderaan kanak-kanak - Utusan Malaysia

Polis tahan 13 suspek penderaan kanak-kanak

PUSAT jagaan kanak-kanak, Little Aresha diserbu polis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Polis Indonesia telah menahan 13 individu selepas imej mengejutkan yang didakwa menunjukkan penderaan terhadap kanak-kanak kecil di sebuah pusat jagaan harian menjadi tular, mencetuskan kemarahan di seluruh negara, kata pegawai pada Isnin.

Polis pada Jumaat lalu menyerbu Little Aresha, sebuah pusat jagaan harian di Yogyakarta di pulau Jawa, susulan laporan daripada bekas pekerja.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah dua tahun, terbaring di lantai hanya memakai lampin, dengan tangan dan kaki mereka diikat menggunakan kain. 

Polis mengesahkan rakaman tersebut adalah tulen.

Ia juga berkata, mereka menemukan 20 kanak-kanak dihimpit dalam sebuah bilik berukuran hanya tiga kali tiga meter.

“Setakat ini, 13 individu telah dinamakan sebagai suspek dan ditahan dalam kes ini,” kata Ketua Polis Bandar, Eva Guna Pandia kepada wartawan di Yogyakarta pada Isnin.

Mereka yang ditahan termasuk 11 pengasuh kanak-kanak,  pengetua dan ketua yayasan yang mengendalikan pusat tersebut.

Mereka akan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk pengabaian kanak-kanak. Pertuduhan lain mungkin ditambah seiring perkembangan siasatan.

Pandia berkata, suspek memberitahu polis bahawa mereka mengikat sebahagian kanak-kanak untuk mengelakkan mereka mengganggu yang lain.

Mereka mendakwa pusat itu kekurangan kakitangan dengan tenaga kerja tidak mencukupi untuk memandikan dan memakaikan pakaian kepada kanak-kanak, kata detektif Yogyakarta, Riski Adrian.

Pusat jagaan itu menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak, lebih separuh daripadanya dipercayai telah didera, menurut polis.

Seorang  bapa, Noorman Windarto, memberitahu AFP bahawa beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ibu bapa lain pada Jumaat lalu, dan menggesanya mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun.

Beliau kemudian dimaklumkan oleh polis bahawa anak itu, yang telah menghadiri pusat tersebut sejak berusia tiga bulan, termasuk antara yang diikat.

“Hati saya hancur,” kata penjawat awam berusia 42 tahun itu.

“Isteri saya menangis. Kebanyakan mereka (pengasuh) adalah wanita dan bahasa tubuh mereka sangat lembut, tutur kata mereka sopan dan kelihatan berpegang pada agama,” jelasnya

Noorman membayar kira-kira 1.1 juta rupiah (RM251), separuh daripada gaji minimum di Yogyakarta  bagi setiap dua orang anaknya untuk menghadiri pusat itu, yang kini telah ditutup.

Anak sulungnya, seorang perempuan kini berusia enam tahun, baru-baru ini berhenti untuk datang ke pusat tersebut.

Kadangkala, dia pulang dengan lebam yang menurut pihak pusat jagaan mungkin diperoleh di tempat lain ketika bermain, kata Noorman.

Anak lelakinya pula telah berulang kali dimasukkan ke hospital akibat pneumonia, yang kini disyaki oleh bapanya mungkin ada kaitan dengan dia dipaksa tidur di lantai sejuk tanpa pakaian.

“Saya sangat marah, berang. Mereka mesti dihukum seberat-beratnya,” tambahnya.

Di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, para suspek berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 100 juta rupiah (RM23,000) – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN