JEMPOL: Selepas 18 tahun terlantar dan mendapatkan rawatan di hospital sejak usianya enam tahun, seorang gadis, Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi, 25, akhirnya dibawa pulang ke rumahnya.
Ibu gadis berkenaan, Dayang Lohani Awang Zain, 56, berkata, anaknya itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan terlantar di hospital itu sejak berusia enam tahun akibat penyakit Cervical Cord Myelopathy iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru selepas terjatuh di rumah.
Katanya, sejak kejadian awal tahun 2005 itu, kehidupannya sekeluarga berubah termasuk dirinya yang perlu menjaga Siti Nurul Hidayah di hospital setiap hari dan terpaksa meninggalkan empat anaknya yang lain di rumah. Anak bongsunya ketika itu hanya berusia enam bulan.
Bagaimanapun, katanya, anak ketiganya daripada lima beradik itu baru-baru ini dibenarkan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bahau di sini hasil usaha dan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Yayasan Munarah.
“Pada mulanya memang cemas juga untuk menjaga Siti Nurul Hidayah di rumah kerana sudah biasa ditemani jururawat serta doktor di hospital.
“Tetapi kembali pulang ke rumah inilah saat yang amat dinantikan oleh kami dua beranak. Lima tahun lalu sudah ada perkhabaran bahawa kami boleh pulang ke rumah namun disebabkan beberapa perkara hajat itu belum kesampaian. Akhirnya waktu itu tiba juga,” katanya.
Dayang Lohani yang berasal dari Sarawak memberitahu, anaknya itu sangat gembira dapat pulang ke rumah namun pada masa yang sama sayu kerana teringatkan kakitangan di HTAN yang menjaga dan merawatnya selama ini.
“Selepas empat hari, Siti Nurul Hidayah ada memberitahu rindu dengan jururawat dan doktor di hospital. Sebelum tidur, dia menangis teringatkan mereka,” katanya yang kehilangan suami, Mohamad Sofi Mohd. pada tahun 2016 yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ujarnya lagi, dia kini menjaga Siti Nurul Hidayah bersama anak bongsu perempuannya yang berusia 19 tahun.
“Tidak sukar menjaganya kerana dia suka menonton televisyen,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam urusannya sekeluarga.
Sementara itu MAINS dalam kenyataan memaklumkan telah melakukan ziarah ke atas keluarga berkenaan dan telah tampil dengan beberapa bantuan.
Bantuan berkenaan seperti satu unit mesin bantuan pernafasan, set katil bersama tilam angin dan peralatan mekanikal ventilasi pernafasan.
Berdasarkan rekod MAINS juga, Dayang Lohani yang merupakan seorang ibu tunggal dan mengalami masalah jantung adalah penerima bantuan kewangan zakat secara bulanan sejak tahun 2014 sehingga kini. – UTUSAN











