Pemandu lori dipukul susulan kanak-kanak maut dalam kemalangan semalam - Utusan Malaysia

Pemandu lori dipukul susulan kanak-kanak maut dalam kemalangan semalam

CHA HOONG FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemandu lori treler yang terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di sini, pada pagi semalam cedera di bahagian muka selepas dibelasah oleh orang ramai.

Pemandu berusia 36 tahun terbabit dipukul kerana dipercayai menjadi punca kemalangan berlaku sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan yang masih bersekolah maut akibat digilis, sementara adiknya dan seorang wanita alami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bagaimanapun punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

“Semasa kejadian, lori kontena dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan lori berkenaan.

“Penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya. Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang lori dan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya, malam tadi.

Beliau menjelaskan, penunggang motosikal mengalami cedera patah tangan kanan sementara kanak-kanak lelaki pula cedera di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Terdahulu Utusan Malaysia separuh badan mayat seorang kanak-kanak perempuan hancur akibat dilenyek sebuah lori treler ketika dalam perjalanan pulang dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.

Mangsa, Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa maut serta merta di tempat kejadian ketika membonceng motosikal bersama adiknya.

Sementara bapa allahyarhamah, Muhammad Jamathir Ahmad Nordin ketika ditemui semalam meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat menatap wajah anak keduanya itu buat kali terakhir sebelum seluruh umat Islam mula berpuasa hari ini.

Dalam pada itu, Hoong Fong menambah, ketika kejadian, ketiga-tiga penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

“Orang awam boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Yunus Abd Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan polis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya