Selangor mudah cara pembinaan Hospital Petaling Jaya

Selangor mudah cara pembinaan Hospital Petaling Jaya

Hospital Petaling Jaya
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan memudah cara pengurusan tanah supaya membolehkan sebuah hospital awam dibina di Petaling Jaya bagi menampung keperluan kesihatan awam kepada lebih 800,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini penduduk di sana bergantung kepada perkhidmatan hospital awam di Shah Alam dan Sungai Buloh yang mempunyai kapasiti masing-masing sebanyak 490 dan 1,037 katil.

Menurutnya, selain dua hospital tersebut, penduduk turut bergantung kepada perkhidmatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kapasiti 946 katil yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya digerakkan secara lebih aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan penduduk di Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta. Di Petaling Jaya sahaja terdapat lebih 800,000 penduduk.

“Lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang diterima oleh Kementerian Kesihatan amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah, dan jarak berdekatan dengan penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, lawatan tapak bersama Kementerian Kesihatan, agensi dan pegawai kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling akan diadakan segera pada minggu ini.

“Lokasi tersebut membolehkan Hospital Petaling Jaya dengan kapasiti 500 katil dapat didirikan dengan konsep vertikal seperti yang dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan akan mengoptimumkan kos bagi kementerian.

“Kerajaan Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh Kementerian Kesihatan yang dapat membawa manfaat penduduk khususnya di Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN