AMPANG: Barisan Nasional (BN) Selangor meletakkan segala keputusan kepada kepemimpinan tertinggi bagi mencatur strategi merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau akan mendukung apa jua keputusan pucuk pimpinan parti, asalkan mampu merampas Selangor daripada tangan PH.
“Saya sebagai ahli parti sebenarnya mengikut segala keputusan yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. Jadi apa juga keputusan yang akan diputuskan, saya sebagai ahli UMNO akan sentiasa mendukung segala keputusan parti. Kerana kita punya slogan kita Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Eksplorasi TVET Giatmara Selangor 2026 di Ampang, baru-baru ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH telah memenangi 16 kerusi Parlimen daripada keseluruhannya berjumlah 22 di negeri berkenaan. Daripada 16 kerusi itu, tujuh daripadanya adalah kerusi PKR iaitu Selayang, Gombak, Ampang, Pandan, Subang, Petaling Jaya dan Sungai Buloh.
DAP pula memperoleh empat kerusi Parlimen iaitu Bangi, Puchong, Damansara dan Klang. Sementara Parti Amanah Negara (Amanah) mempunyai lima kerusi iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja dan Sepang.
Bagaimanapun, jumlah kerusi itu menyusut kepada 15 kerusi Parlimen sahaja pada ketika ini setelah Datuk Seri Rafizi Ramli membuat pengumuman untuk mengosongkan kerusi Pandan.
Keadaan tersebut menimbulkan persoalan, adakah PH mampu mengekalkan kuasa di Selangor setelah 18 tahun sejak PRU pada 2008 menerusi pakatan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan Pas ketika itu.
Mengulas mengenai isu perpaduan di Selangor, Rizam menegaskan semua pihak perlu menjunjung titah Sultan Selangor yang sentiasa menekankan kepentingan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.
“Sudah pasti kita menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Full stop. Malah, di dalam perbahasan juga, kita ada mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan dengan perpaduan di mana perlunya kita menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai satu payung perpaduan di negeri Selangor. Itu sangat jelas,” katanya. – UTUSAN










