SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori di Kilometer 31.8 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dekat Kota Kemuning, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, lelaki berusia 40-an tersebut dikatakan melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan yang diletakkan dekat lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan tayar.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Honda RS150 berwarna oren itu dalam perjalanan dari arah Subang ke Klang sebelum melanggar lori di lokasi.
“Lori dari arah Subang ke Klang berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami tayar pecah. Kemudian, datang sebuah motosikal dari arah sama melanggar bahagian kanan belakang lori tersebut.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu bolehlah tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” ujarnya. – UTUSAN










