Bapa tangisi pemergian anak di ambang Ramadan - Utusan Malaysia

Bapa tangisi pemergian anak di ambang Ramadan

Bapa
MENYAYAT, tragedi kemalangan mengakibatkan seorang kanak-kanak maut dan separuh badannya hancur dalam kemalangan dekat Jalan Tengah, Kampung Telok Gong di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang bapa tidak menyangka ambang Ramadan keluarganya bermula dengan tragedi apabila anak perempuannya, Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan yang menyayat hati di Kampung Teluk Gong, di sini, pagi tadi.

Lebih meruntun hati apabila Muhammad Jamathir Ahmad Nordin tidak dapat melihat wajah anaknya yang berusia sembilan tahun itu buat kali terakhir selepas separuh badannya hancur digilis lori treler ketika dalam perjalanan pulang dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.

Tragedi tersebut turut mengakibatkan anak keduanya, Alif Zahfran, 7, turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Menurut Muhammad Jamathir, dia dan isteri langsung tidak menyangka tragedi tersebut akan menimpa mereka sekeluarga, lebih-lebih lagi mengakibatkan kematian anak keduanya itu.

“Saya dapat khabar kemalangan ini dari isteri, Rubyiatul Adawiyah Mat Ros, 28 pagi tadi. Sebaik sahaja terima berita itu, saya terus ke lokasi kejadian dan tiba di sana kira-kira pukul 11.35 pagi.

“Saya amat terkilan, walhal pada awal pagi saya sempat menatap dan bersalaman dengan kedua-duanya sebelum mereka pergi ke sekolah dan saya keluar bekerja. Tiba-tiba dapat panggilan, anak kedua saya sudah tiada,” katanya ditemui pemberita.

Bapa

Bapa berusia 32 tahun itu ditemui dekat Jabatan Forensik HTAR selepas dua anaknya terlibat dalam kemalangan ketika membonceng motosikal bersama jirannya seorang wanita, 54, ketika melalui Jalan Tengah di kampung berkenaan sebelum di langgar sebuah lori terbabit.

Insiden tersebut turut menyebabkan wanita berkenaan dirawat di hospital tersebut, sementara Alif Zahfran pula dilaporkan perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan dialaminya.

Jelasnya lagi, dia memang mengupah jirannya itu untuk membantunya bagi mengambil kedua-dua anaknya pulang dari sekolah ketika sedang bekerja.

Dalam pada itu, lebih memilukan, Muhammad Jamathir turut memberitahu, dia sekeluarga memastikan sambutan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bermakna untuk mereka apabila sudah pun membuat persiapan untuk menyambutnya.

“Arwah bersama ibu dan adiknya lihat sama-sama pakaian yang dijual dalam aplikasi pembelian dalam talian, kemudian ukur seorang demi seorang untuk dapatkan saiz yang tepat sebelum beli beberapa hari lalu. Kami hendak pakai baju sedondon sekeluarga berwarna hitam.

“Malah, bajunya sudah pun sampai pada minggu lalu, arwah sangat teruja melihatnya dan tidak sabar untuk pakai pada hari raya nanti. Saya amat sedih bila teringat kenangan singkat itu, saya tak dapat bayangkan macam mana kami sekeluarga hendak melalui Ramadan dan Syawal nanti, Allah lagi sayang dia,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya