Malaysia sedia tentang lapan penuntut dakwa waris Kesultanan Sulu

Malaysia sedia tentang lapan penuntut dakwa waris Kesultanan Sulu

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung isu tuntutan waris kumpulan Sulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia kini sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang lapan orang penuntut yang mendakwa mereka adalah waris Kesultanan Sulu.

Sekretariat Khas Sulu menerusi kenyataan memaklumkan, semakan lanjut juga sedang dibuat untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan orang penuntut ini mempunyai pertalian hubungan kekeluargaan atau waris kepada kumpulan pengganas Royal Sulu Forces (RSF).

Menurutnya, RSF sebelum ini telah dihukum oleh mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah, malah, diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

“Tindakan undang-undang yang diambil oleh penuntut sehingga kini, terutama timbang tara komersial yang dijalankan, adalah tidak wajar dari segi perundangan, malah mencabar kedaulatan negara secara langsung.

“Sebarang tindakan yang diambil oleh penuntut ini melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat mala fide, memandangkan pihak Sulu pada tahun 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu,” katanya.

Katanya, Kerajaan Malaysia menegaskan disini bahawa hak dan tuntutan penuntut ini tidak sah, terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Jelas Sekretariat Khas Sulu lagi, Kerajaan Malaysia juga ingin menegaskan bahawa Perjanjian 1878 yang dijadikan asas untuk timbang tara yang dijalankan di Sepanyol dan Perancis tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersil.

“Malah, pertikaian yang terbangkit di sini melibatkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya.

“Selain itu, penimbang tara juga tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh penuntut dan ia selaras dengan perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak Kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020,” katanya.

Sebelum ini, satu Kumpulan Sulu didapati masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Sekretariat Khas Sulu ditubuhkan kerajaan pada 17 Februari lalu bagi memantau tindakan perundangan serta strategi yang berkaitan kes tuntutan Kumpulan Sulu.

Keahlian Sekretariat Khas ini diperluaskan membabitkan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi Digital, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Besar Sabah dan pakar perundangan dalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya