Usaha Sulu sita harta Malaysia berakhir

Usaha Sulu sita harta Malaysia berakhir

Gonzalo Stampa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Sulu tidak boleh lagi menggunakan keputusan anugerah akhir pampasan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) untuk merampas mana-mana aset dan kepentingan milik Malaysia di seluruh negara ekoran penimbang tara, Gonzalo Stampa didapati bersalah oleh Mahkamah Sepanyol, kelmarin.

Ini bermakna segala tuntutan kumpulan berkenaan untuk menyita harta milik Malaysia sudah berakhir sekali gus melakar kejayaan bersejarah tanah air di mahkamah antarabangsa dalam tindakan undang-undang yang dibawa oleh sekumpulan individu, mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Kelmarin, Stampa yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah melakukan penghinaan mahkamah dan dihukum oleh mahkamah Sepanyol dengan penjara selama enam bulan di samping turut dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, keputusan itu turut membawa makna bahawa segala usaha kumpulan Sulu sudah berakhir dan mereka tidak boleh menggunakan keputusan oleh seorang pengimbang tara yang disabitkan bersalah.

Menurut beliau, hukuman pemenjaraan tersebut menunjukkan keputusan final award yang diputuskan oleh individu tersebut tidak sah dan tidak boleh digunakan untuk rujukan kumpulan Sulu pada masa akan datang.

“Ia akan mempengaruhi jika kumpulan Sulu mahu membuat tuntutan terhadap mana-mana kepentingan milik Malaysia di seluruh negara, sama ada proses sedang berlangsung dan seterusnya. Selama ini mereka menggunakan final award untuk merampas aset dan kepentingan di negara lain.

“Jika mereka meneruskan usaha tersebut, perlu ada keputusan final award oleh seorang pengimbang tara yang baharu dan bukannya pernah ditetapkan Stampa sebelum ini,” katanya.

Stampa dinamakan sebagai defendan dalam prosiding jenayah di Sepanyol yang dibawa oleh Pejabat Pendakwa Raya negara itu dan Malaysia, berdepan pertuduhan menghina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan.

Sebelum ini, mahkamah Sepanyol, Perancis dan Belanda mengesahkan kedudukan keseluruhan Malaysia berhubung kes Sulu dan mengenai anugerah akhir yang kononnya dikeluarkan Stampa pada 28 Februari 2022 yang menuntut Malaysia membayar AS$14.9 bilion.

Dalam usaha menguatkuasakan anugerah itu, kumpulan Sulu terbabit dilapor cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Mahkamah Tinggi Sepanyol sebelum ini mengisytiharkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan memerintahkannya untuk menamatkan prosiding, kerana satu-satunya hak beliau untuk bertindak sebagai penimbang tara adalah terbatal.

Stampa yang memperoleh lebih AS$2.5 juta daripada kumpulan mengaku waris Sulu (dibiayai oleh pembiaya litigasi, Therium), dengan sedar enggan mematuhi perintah itu.

Mengulas lanjut, Noorfajri berkata, sejak awal lagi tuntutan kumpulan Sulu dilihat tidak munasabah apabila ia membabitkan kepentingan dan kedaulatan negara yang secara jelas melanggar peraturan arbitrasi dan menyalahi proses undang-undang antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×