KUALA LUMPUR: Kumpulan Sulu mungkin boleh meneruskan tuntutannya terhadap final award atau anugerah akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada kerajaan Malaysia jika kerajaan Filipina tidak menghapuskan tuntutan negara itu terhadap Sabah.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. sebelum ini mengumumkan kerajaan negara itu sedang mengambil beberapa langkah pasti bagi menghapuskan tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Rais Yatim berkata, usaha kumpulan itu untuk meneruskan tuntutan berkenaan bakal berdepan langkah amat mencabar kerana mereka memerlukan pengesahan daripada kerajaan Filipina.
“Tuntutan itu tidak menjadi makna apa-apa kerana mesti melalui lunas undang-undang. Sekarang ini di bawah mahkamah Sepanyol sudah memutuskan Stampa adalah seorang penjenayah yang cuba mendera kedudukan kenegaraan Malaysia secara tidak berasas kepada fakta persempadanan dan perjanjian north borneo company.
“Ini bermakna, apa sahaja yang pihak Sulu lakukan sekarang ini tidak akan jadi apa-apa. Tetapi sebaliknya jika Filipina mengubah sikap, ini satu perkara baharu yang mesti dilihat dari segi kepakaran antarabangsa.
“Malah, Sulu juga perlu mempunyai lokal standi yang disahkan kerajaan Filipina. Jika kerajaan tidak buat apa-apa kecuali minit yang dirakam oleh kongres kira-kira dua tahun lalu, perkara itu tergantung begitu sahaja dan kita mengharapkan pemikiran rasional Filipina supaya tidak berubah jika Sulu membuat angkara,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kumpulan Sulu tidak berganjak daripada usaha meneruskan tuntutan anugerah terakhir berjumlah AS$14.9 bilion walaupun penimbang tara kes itu, Stampa kini dipenjara selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Spanyol.
Selain membantah hukuman dijatuhkan ke atas Stampa, kumpulan Sulu juga mahu mengambil semua langkah sewajarnya bagi meneruskan tuntutan ke atas Malaysia.
Malah, peguam Sulu mendakwa keputusan ke atas Stampa berlaku campur tangan politik Spanyol yang mahu memenangi kontrak Malaysia untuk pemasangan pesawat ketenteraan oleh Airbus.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu, Rais menyatakan kerajaan Malaysia perlu mengambil kira jika Stampa membuat rayuan selepas dia didapati bersalah dan dikenakan hukuman.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tentu lebih arif iaitu pihak Stampa mungkin membuat rayuan dan ini terpulang kepada pihak berkenaan untuk bersiap siaga atas pendirian, undang-undang antarabangsa dan arbitrasi antarabangsa,” ujarnya.
Isnin lalu, Stampa didapati bersalah melakukan penghinaan mahkamah dan kemudian dihukum penjara enam bulan oleh mahkamah Sepanyol di samping turut dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun. – UTUSAN










