KUALA TERENGGANU: Pas terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu boleh dibincangkan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi menentukan kedudukan masing-masing dalam kerjasama politik di negeri ini.
“Kita sedia maklum bahawa DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dan hanya lima kerusi disandang wakil selain Pas.
“Perkara berkaitan lima kerusi tersebut boleh dibincangkan antara PN dan BN bagi menentukan kedudukan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama Pas dan BN diperluaskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, kerjasama dimulakan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka merupakan batu asas untuk membina persefahaman lebih besar antara kedua-dua parti.
Katanya, pelbagai kemungkinan boleh dipertimbang sekiranya kerjasama berkenaan dapat diperluaskan sehingga PRU16.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN berkata, perbincangan mengenai kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang belum sampai ke peringkat berkenaan kerana kedua-dua pihak perlu menyelesaikan perkara secara berperingkat.
“Bagi pembentukan kerajaan negeri, kita akan melihat bagaimana kita boleh menyumbang kepada pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri Melaka. Selepas keadaan agak stabil, kita akan meneruskan siri perbincangan seterusnya,” katanya.
Mengenai kemungkinan Pas Terengganu berkongsi kerusi dengan parti komponen PN dan BN sekiranya kerjasama itu diteruskan sehingga PRU16, Ahmad Samsuri berkata, formula yang digunakan di Melaka mempunyai aturan tersendiri.
Katanya, pendekatan berkenaan bermula dengan mengekalkan status quo dan prinsip sama perlu diterima semua pihak bagi memastikan pembahagian kerusi dibuat secara adil.
Ahmad Samsuri berkata, tiada perubahan kedudukan Exco Bersatu dalam kerajaan negeri sebagaimana yang berlaku di Kelantan.
“Selain Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kerajaan negeri turut mempunyai timbalan Exco daripada pelbagai parti termasuk Pas dan Bersatu.
“Sekiranya timbul sebarang masalah dalam kalangan timbalan Exco, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan keadaan semasa,”katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Kamaruddin Md Nor, telah digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan berkuat kuasa 9 November 2026. – UTUSAN











