‘Rumah uzur akibat perang, runtuh selepas dilanda gempa’

‘Rumah uzur akibat perang, runtuh selepas dilanda gempa’

BANGUNAN di depan kediaman milik Hansa di al-Bab, Syria yang rosak teruk akibat kesan gempa bumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Banyak rumah di kawasan kejiranan saya ini musnah. Sudahlah rumah yang mereka dan saya duduki ini ‘uzur’ selepas bertahun-tahun hadap perang, gempa bumi meranapkan pula tempat kami berlindung”.

Itu jelas Hansa, ibu tunggal berusia lingkungan 40-an kepada Utusan Malaysia, mengenai gempa bumi di Turkiye yang turut menggegarkan kawasan kediamannya di al-Bab, utara Syria.

Jarak antara al-Bab dan pusat gempa bumi di Gaziantep, Turkiye adalah sejauh 128 kilometer.

Menurut Hansa, gempa bumi turut menyebabkan kawasan kediamannya berdepan gangguan elektrik dan internet.

Bagaimanapun beliau ber­syu­kur kerana dia dan empat lagi anaknya selamat.

Anak tunggal lelakinya, Akram, 12, pernah ditemui Utusan Malaysia di al-Bab ketika akhbar ini mengikuti Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave ke Syria, tahun lalu.

“Banyak kenderaan milik jiran musnah dihempap rumah yang runtuh. Ramai yang terpaksa tinggal di luar, bimbang jika berlaku gegaran lagi, pas­tinya banyak lagi rumah runtuh. Gegaran akibat gempa bumi itu cukup kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Aishah Yassin, 54, yang menyewa rumah di kawasan kejiranan Hosgor di Gaziantep berkata, buat masa ini dia sekeluarga termasuk seorang anaknya yang mengalami kecacatan fizikal terpaksa ‘berkhemah’ di luar rumah.

“Ya Allah, tak dapat saya ba­yangkan, betapa dahsyat kami lalui semasa gempa itu berlaku. Rumah yang kami diami ini, strukturnya tidaklah berapa kuat. Kebanyakan kami tinggal di luar buat masa ini, takut rumah ini runtuh pula,” katanya.

Aishah yang berasal dari A’zaz, utara Syria sebelum ini melarikan diri bersama keluarganya ke Gaziantep bagi mendapatkan perlindungan akibat perang di Syria.

Anak sulungnya, Morshid Ghazi, 35, mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan.

Gempa bumi kuat 7.8 pada skala Richter menggegarkan tenggara Turkiye, kelmarin.

Gegaran turut dirasai di Syria, Cyprus, Lubnan, Mesir dan Iraq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×