PETALING JAYA: Kenaikan mencanak harga sayur-sayuran sehingga mencecah 100 peratus, didorong empat faktor terutama peningkatan harga produk baja tanaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid berkata, selain kenaikan harga baja, faktor cuaca, kenaikan harga racun serangga serta masalah kekurangan pekerja asing turut merencatkan pengeluaran sayur-sayuran.
Menurutnya, harga baja tanaman mula meningkat sejak penularan Covid-19 pada 2020, namun menunjukkan peningkatan drastik sejak krisis Russia-Ukraine pada awal tahun lepas.
“Harga baja sudah naik dua kali ganda. Dulu, baja jenis NPK harganya RM120 sehingga RM140 untuk 25 kilogram. Sekarang ini sudah RM250 sehingga RM270.
“Harganya mula naik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, tapi paling ketara sejak perang Rusia-Ukraine,” katanya di sini semalam.
Dalam masa sama katanya, faktor cuaca yang tidak menentu mengakibatkan kualiti tanaman merosot sehingga menjejaskan pengeluaran.
“Keadaan cuaca tidak menentu, tidak cukup cahaya matahari dan hujan yang berterusan. Pengeluaran kami menjadi terhad dan kualiti sayur pun tidak begitu baik.
“Ini kerana, bila tiada matahari, dalam enam bulan kebelakangan ini, matahari kami tengok mungkin dua, tiga hari saja. Jadi, sayur tidak cantik malah banyak penyakit,” katanya.
Syed Abd. Rahman berkata, faktor peningkatan harga racun serangga juga mengakibatkan kos pengeluaran turut naik mendadak.
“Racun naik, semua naik. Itu naik dalam 50 peratus, harganya naik sejak perang Rusia-Ukraine, pembekal tempatan beri alasan peperangan itu mengakibatkan harganya meningkat.
“Selain itu, faktor kekurangan pekerja asing di ladang sayuran juga mendorong masalah pengeluaran. Kami sudah berbincang dengan kementerian terlibat dan masih menunggu mereka menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Mingguan Malaysia melaporkan harga sayur-sayuran di Balik Pulau, Pulau Pinang meningkat di antara 80 sehingga 100 peratus.
Antara jenis sayur-sayuran yang mengalami peningkatan harga termasuk tomato, timun, kacang panjang dan bendi.
Menurut seorang peniaga di pasar awam, Oh Beng Huat, harga sayur meningkat sekitar 80 hingga 100 peratus dan antara sayur yang mengalami peningkatan harga ialah tomato serta bendi.
Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan sayuran cukup di pasaran.
Menurut beliau, tindakan intervensi itu perlu diambil susulan bekalan sayur seperti kacang panjang, bendi dan terung berkurangan dan sukar diperoleh pengguna.
Akhbar melaporkan, bekalan sayur-sayuran dijangka tidak dapat menampung permintaan yang tinggi menjelang bulan Ramadan berikutan hasil pengeluaran sayur dalam negara terjejas akibat cuaca hujan. – UTUSAN










