383 layak bertanding Pemilihan UMNO Pusat 2023

383 layak bertanding Pemilihan UMNO Pusat 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 383 calon layak bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023 yang membabitkan semua jawatan di peringkat kepemimpinan Pusat parti termasuk Naib Presiden dan ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Samad berkata, kepemimpinan Pusat menyaksikan 115 calon termasuk lapan individu yang menawarkan diri untuk merebut kerusi tiga jawatan Naib Presiden.

Katanya, Pengerusi Tetap terdapat dua calon manakala Timbalan Pengerusi Tetap pula 10 calon.

“Untuk kekosongan 25 kerusi MT, terdapat 95 calon yang menawarkan diri sebagai calon. Sebenarnya ada 98 borang diterima sehingga 26 Februari lalu, tetapi tiga ditolak kerana tidak layak,” katanya dalam UMNO Online hari ini.

Shahrir berkata, pergerakan sayap Wanita UMNO menyaksikan 70 calon menawarkan diri dalam pemilihan bulan depan dan jumlah itu membabitkan dua individu yang bersaing untuk merebut satu kerusi Ketua Wanita.

“Selain itu ada dua calon Naib Ketua Wanita, dua Pengerusi Tetap, empat Timbalan Pengerusi Tetap dan 60 Exco Wanita,” katanya.

Bagi sayap Pergerakan Pemuda pula, Shahrir mengumumkan terdapat 142 calon menawarkan diri termasuk lima individu untuk kerusi Ketua Pemuda manakala terdapat empat calon Naib Ketua Pemuda.

“Tujuh calon Pengerusi Tetap, 13 Timbalan Pengerusi Tetap dan 111 Exco Pemuda.

“Untuk Puteri UMNO, terdapat 56 calon iaitu membabitkan dua Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam Ketua Puteri, tiga Naib Ketua Puteri dan 43 Exco Puteri,” katanya.

Jelas beliau, secara keseluruhan Pemilihan UMNO 2023 peringkat Pusat didominasi daripada ramai muka orang muda apabila terdapat 113 calon Exco Pemuda.

Menyentuh pemilihan peringkat bahagian pula, Shahrir memberitahu, terdapat beberapa bahagian belum melengkapkan proses kemas diri data dan jumlah sebenar dimaklumkan kemudian.

Beliau berkata, proses cabutan nombor akan dilakukan pada Khamis ini dan mana-mana yang ingin menarik diri sebagai calon boleh demikian sebelum ia dilakukan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN