Sah lebih 3,000 hektar tanah rizab Melayu ‘hilang’

Sah lebih 3,000 hektar tanah rizab Melayu ‘hilang’

LAPORAN Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 24 Januari 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Perkara itu didedahkan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Perak didesak segera bertindak memandangkan laporan berkenaan sudah didedahkan lebih setahun lalu namun didakwa belum ada tindakan susulan.

Laporan itu menyatakan ke­­silapan Pejabat Tanah dan Ga­lian Perak (PTG) yang mem­be­narkan pendaftaran pindah milik menyebabkan tanah rizab Melayu dimiliki oleh bukan Melayu walaupun hak mil­ik asal adalah pegangan Me­layu.

Dalam masa sama, laporan itu turut mengesahkan pen­dedahan Mingguan Malaysia bertarikh 24 Januari 2021 me­ngenai penyelewengan tanah rizab Melayu seluas 649.2 hek­tar di mukim Sitiawan, yang meng­akibatkan tanah rizab Melayu di situ dipecah kepada 317 lot kecil dan bertukar hak milik kepada bukan Melayu.

Dalam laporan bertajuk ‘Bumi Dipijak Milik Orang’ tersebut, akhbar ini mendedahkan bahawa proses pindah milik itu bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Dalam laporan tersebut, JAN menjelaskan, sembilan ke­le­mahan utama pengurusan ta­nah rizab Melayu di Perak yang mengakibatkan beribu hek­tar tanah rizab Melayu ber­pindah hak milik kepada bukan Melayu.

“Antara kelemahan ter­se­but merangkumi pindah mi­lik kepada bukan Melayu me­libatkan satu lot tanah rizab Me­layu di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot tanah rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung yang keseluruhannya tanah seluas 3,214.084 hektar.

“Pada masa sama, Rizab Me­layu Pengkalan Baru, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Man­jung seluas 14.67 hektar telah dipajak kepada syarikat bukan Melayu bagi perusahaan kuari,” kata laporan tersebut.

Laporan itu juga menjelaskan sebanyak 84,972 (50.7 peratus) daripada 167,628 hak milik perseorangan Melayu manakala sebanyak 33 dokumen hak milik syarikat (pegangan Melayu) tidak mempunyai en­dorsan Kemasukan Rizab Melayu (KRM).

“Pada masa sama, sebanyak 837 (21.6 peratus) daripada 3,879 dokumen hak milik per­seorangan bukan Melayu telah diendorskan KRM,” kata laporan tersebut.

JAN turut mengesahkan ber­laku pencerobohan secara ha­ram ke atas tanah rizab Melayu seluas 309 hektar di daerah Perak Tengah dan Kerian yang diteroka sebagai ladang kelapa sawit sejak 20 tahun lalu.

“Lawatan fizikal Au­dit men­dapati berlaku pencero­bohan di empat kawasan tanah rizab Melayu bagi penanaman kelapa sawit yang melibatkan anggaran kawasan seluas 309.77 hektar.

“Pihak Audit mendapati pen­cerobohan berlaku antara tem­poh 10 hingga 20 tahun berdasarkan usia pokok kelapa sawit tersebut.

“Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada permohonan Lesen Pendu­dukan Sementara (TOL) dike­luarkan bagi kawasan itu,” kata laporan tersebut.

Justeru, kata JAN, kerajaan negeri Perak mengalami kerugian dalam bentuk cukai, premium dan denda susulan pencerobohan tanah itu.

“Berdasarkan pengiraan Audit, anggaran kerugian hasil bagi kawasan dicerobohi adalah berjumlah RM741,945 termasuk premium,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN