ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah secara berasingan ketika kedua-dua gabungan tersebut sudah pun membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keadaan itu jika berlaku hanya akan ‘menghantar’ mesej salah kepada pengundi selain mewujudkan keadaan tidak stabil di peringkat Persekutuan.
“Jadi saya fikir perlu ada kesepakatan yang jelas dan tegas daripada PH dan BN di peringkat nasional berhubung perkara ini.
“Setakat ini kami masih menunggu arah tuju yang jelas daripada kepemimpinan kedua-dua gabungan di pusat namun di peringkat negeri, setakat ini saya bersama kepimpinan UMNO Kedah khususnya Datuk Seri Jamil Khir Baharom sudah mengadakan pertemuan peringkat awal.
“Kami sekadar bertemu bagi membincangkan beberapa hal berbangkit dan sementara menanti hala tuju yang bakal ditetapkan oleh kepemimpinan peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memaklumkan, PRN Pulau Pinang yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini bakal menyaksikan kerjasama buat pertama kali antara DAP dan BN.
Menurut Guan Eng, perincian mengenai perkara itu akan dibuat selepas mesyuarat lanjut dijalankan dengan Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal berlangsung dalam minggu ketiga sebelum Tahun Baharu Cina.
Mahfuz berkata, ketetapan berhubung perkara itu perlu disegerakan bagi menyelesaikan beberapa perkara penting terutama pembahagian kerusi.
“Namun, saya merasakan PRN ini tidak seharusnya diadakan dalam masa terdekat. Bagi saya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan koordinasi dengan enam negeri terlibat agar PRN dapat dijalankan secara serentak.
“Saya katakan begitu bukan kerana kita masih tak bersedia sebaliknya kerana rakyat nampak sudah letih memandangkan PRU15 baru saja berakhir. Apatah lagi banjir di Pantai Timur pun barudan rakyat masih memikirkan mengenai kelangsungan hidup masing-masing,” katanya. – UTUSAN










