LUMUT: Hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pangkor dilanda banjir hari ini.
Penduduk Kampung Masjid, Norshakila Ahmad, 39, berkata, air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 7 pagi sebelum naik dengan cepat sehingga menjejaskan pelbagai peralatan rumah termasuk peti sejuk, mesin basuh dan perabot.
“Kawasan ini memang selalu banjir. Jika hujan lebat, air akan naik. Banjir hari ini antara yang terburuk apabila air naik sehingga paras pinggang.
“Air surut kira-kira pukul 10 pagi, namun kami bimbang hujan lebat akan menyebabkan banjir semula. Sebelum ini, pernah berlaku dua hingga tiga kali banjir dalam sehari disebabkan hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi mangsa, Che Jam Khamis, 65, berkata, rumahnya dilanda banjir buat kali kedua tahun ini selepas kejadian sama berlaku pada Februari lalu akibat hujan lebat.
Menurutnya, banjir kali ini menyebabkan beberapa peralatan rumah yang baru dibeli rosak selepas ditenggelami air, termasuk peti sejuk, mesin basuh dan tilam.
“Hujan lebat bermula pukul 4 pagi dan tidak berhenti-henti. Kira-kira pukul 7 pagi, saya melihat rumah sudah dipenuhi air.
“Banjir hari ini antara yang terburuk selepas tahun lalu. Ramai penduduk tidak sempat memindahkan peralatan rumah ke tempat lebih tinggi kerana air naik terlalu cepat.
“Kami berharap cuaca semakin baik supaya dapat membersihkan rumah daripada kotoran lumpur akibat banjir,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, antara kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Pinang Besar, Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil, Kampung Hussin, Teluk Gedung, Kampung Tengah, Rumah Murah, Taman Pangkor Mutiara dan Taman Sri Pangkor.
Menurut kenyataan itu, kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam yang berhenti sekitar pukul 9 pagi.
“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Keadaan cuaca beransur cerah, paras air menunjukkan trend menurun dan pemantauan di lokasi masih dijalankan,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN











