Konsert Gema Bumantara: Hujan bukan penghalang Siti Nurhaliza gegar Stadium Nasional Bukit Jalil - Utusan Malaysia

Konsert Gema Bumantara: Hujan bukan penghalang Siti Nurhaliza gegar Stadium Nasional Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Semangat puluhan ribu peminat yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Sabtu, membuktikan hujan bukan penghalang untuk meraikan kehebatan irama tradisional bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara, kira-kira 70,000 penonton tetap setia memenuhi stadium meskipun dibasahi hujan renyai, sekali gus menyaksikan persembahan penuh warna-warni yang mengangkat keindahan muzik tradisional Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menarik, rata-rata peminat hadir segak dan anggun mengenakan busana tradisional, selari dengan tema konsert yang mengetengahkan warisan seni dan budaya tempatan.

Memulakan persembahan tepat pukul 8.30 malam, Siti membuka tirai dengan aksi silat penuh bertenaga sebelum mendendangkan lagu Mahligai Permata.

Penyanyi tersohor itu turut meluahkan rasa terharu melihat kesetiaan peminat yang tetap hadir memberikan sokongan walaupun terpaksa berdepan cuaca hujan.

“Saya minta maaf, kita merancang, Tuhan yang menentukan. Saya tak boleh tahan ujian, tetapi apabila hujan, sejuklah sedikit daripada berpanas. Saya lihat semua berponco (berbaju hujan).

“Bukan selalu konsert dalam hujan. Ini sejarah untuk saya dan kita semua. Saya sebenarnya terharu.

“Selepas sembilan bulan, akhirnya impian untuk mengadakan konsert tradisional di stadium terbesar menjadi kenyataan. Pada ketika konsert Legacy 30 itu, saya main cakap saja,” katanya.

Hujan dilaporkan mula reda kira-kira dua jam selepas persembahan bermula, namun keadaan itu tidak menghalang kemeriahan konsert yang berlangsung selama kira-kira tiga jam 30 minit.

Menggabungkan elemen muzik klasik dan moden dengan iringan Leman Band serta Orkestra Istana Budaya, persembahan berkenaan menyajikan lebih 30 lagu yang menyerlahkan keunikan irama tradisional.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Joget Kasih Tak Sudah, Musalmah Manis, Mohon Kasih, Hati Yang Rindu, Badarsila dan Di Taman Teman.

Persembahan turut diserikan dengan kemunculan pelakon, Izara Aishah, ketika Siti menyampaikan lagu Walinong Sari, diikuti Bintang Malam dan Jenjang Cinta.

Pelakon, Zariff Ghazzi, turut mencuri perhatian apabila mengayuh beca ketika Siti mendendangkan lagu Kurik Kundi selepas menyampaikan Masri Manis.

Dalam kesempatan itu, Siti turut berkongsi pengalaman terjatuh ketika menjalani latihan permainan tradisional lompat tali sehingga menyebabkan wajahnya bengkak beberapa hari sebelum konsert berlangsung.

Konsert berkenaan turut menampilkan empat artis jemputan yang menambahkan lagi kemeriahan pentas, termasuk Haziq Rosebi menerusi lagu Hati Ke Hati, Zapin Bunga Hutan dan Bergendang Dang Gong.

Dua penyanyi Indonesia, King Nassar dan Lesti Kejora, turut memeriahkan persembahan menerusi beberapa lagu, antaranya Ikan Dalam Kolam, Seperti Mati Lampu, Pandang Jeling, Kumbang Bunga dan Zapin Melayu.

Bagaimanapun, antara detik paling dinantikan ialah kemunculan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, yang kembali berkongsi pentas dengan Siti selepas 26 tahun.

Gandingan mereka menerusi lagu Dondang Dendang dan Hati Kama mengundang sorakan gemuruh penonton, sekali gus menghidupkan suasana stadium dengan alunan irama tradisional.

Mengambil kesempatan itu, Noraniza turut menitipkan pesanan agar Siti terus memperjuangkan irama Malaysia dan memperkenalkannya kepada generasi muda.

“Jangan berhenti dan teruskan legasi irama Malaysia. Kita teruskan dan jangan berhenti,” katanya.

Suasana konsert turut bertukar sayu apabila Siti menyampaikan lagu Pesanan Buat Diri yang didedikasikan khas buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah. Siti dilihat tidak dapat menahan air mata ketika menyampaikan lagu berkenaan.

Menjelang penghujung persembahan, Siti menghadiahkan tiga lagu ikoniknya, Ya Maulai, Balqis dan Cindai, yang membuatkan penonton kembali rancak berzapin dan berjoget meskipun masih dibasahi hujan.

Konsert penuh warna-warni itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meluangkan masa menyaksikan persembahan berkenaan.

Siti berkata, irama tradisional Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu berdiri sama tinggi dengan muzik dari luar negara.

“Inilah yang saya mahu tonjolkan. Irama tradisional kita tidak kalah dengan irama luar negara yang datang kerana irama tradisional kita juga hebat untuk dipentaskan,” katanya kepada Perdana Menteri.

Selain itu, beberapa rakan artis termasuk Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Hafiz Hamidun dan Bob Yusof turut hadir memberikan sokongan kepada penyanyi berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini