Insiden serius di pangkalan tentera Kanada ragut beberapa nyawa

Insiden serius di pangkalan tentera Kanada ragut beberapa nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Insiden serius di sebuah pangkalan tentera di barat Kanada mengorbankan dan mencederakan beberapa orang serta mencetuskan kebakaran besar, menurut kerajaan.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menerusi hantaran di platform X berkata, satu insiden serius yang mencetuskan kebakaran besar berlaku di Pangkalan Angkatan Tentera Kanada Wainwright di barat Alberta.

Menteri Pertahanan, David McGuinty mengesahkan terdapat korban jiwa dan kecederaan susulan kejadian itu ketika sidang media.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak memperincikan jumlah korban atau punca kejadian.

Seorang doktor di sebuah hospital di Edmonton, Warren Thirsk memberitahu penyiar awam CBC kemudahan kesihatan di Wainwright kini dibebani dengan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan.

“Jumlah pesakit ini melebihi apa yang sanggup kita hitung ketika ini. Ini satu bencana. Bencana seperti ini berlaku sekali dalam tempoh 15 hingga 25 tahun,” katanya.

Daerah Perbandaran Wainwright menerusi media sosial memaklumkan api merebak dengan pantas akibat angin kencang.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa berkata kebakaran itu terkawal setakat ini, namun pasukan bomba akan terus memantau kawasan berkenaan.

Carney berkata, kerajaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Alberta dan pihak berkuasa tempatan.

“Ingatan dan doa kami bersama semua wanita dan lelaki berani yang terjejas,” katanya menerusi X.

Kebakaran itu turut menjejaskan pengundian awal menjelang referendum pada Isnin mengenai cadangan mengadakan pungutan suara pada masa depan berhubung hasrat Alberta untuk berpisah daripada Kanada.

Pejabat pilihan raya wilayah Alberta memaklumkan pusat pengundian awal di Wainwright telah ditutup.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini