IPOH: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penurapan 600 jalan di kawasan perumahan di seluruh Perak yang dijadualkan bermula bulan depan dan siap sepenuhnya sebelum Hari Raya tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan di bawah inisiatif Sentuhan Kasih Istimewa Perdana Menteri itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, peruntukan berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam memastikan kemudahan jalan raya di kawasan perumahan berada dalam keadaan baik.
“Perdana Menteri mengumumkan Sentuhan Kasih Istimewa dengan peruntukan RM30 juta untuk negeri Perak bagi penurapan 600 jalan di semua kawasan perumahan di seluruh Perak.
“Inilah Perdana Menteri kita yang sentiasa menyelami perasaan rakyat. Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang budiman.
“Peruntukan ini bukan RM3 juta tetapi RM30 juta. Inilah sentuhan kasih yang istimewa yang diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. – UTUSAN











