PETALING JAYA: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris, menyifatkan penglibatannya dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara, semalam, sebagai antara detik paling istimewa sepanjang dua dekad kerjayanya.
Noraniza, 58 yang mesra disapa sebagai Kak Ani, menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila diberi peluang untuk kembali berdiri di pentas besar bagi memperjuangkan irama tradisional di samping Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Pentas sudah pun sunyi, namun kenangan malam tadi masih belum reda dalam hati. Selepas SUKOM ’98 (Sukan Komanwel 1998), malam tadi menjadi antara detik paling indah dalam lipatan sejarah perjalanan seni Kak Ani.
“Terima kasih buat Rozi (pengurus Siti Nurhaliza) dan Siti Nurhaliza kerana masih mengingati Kak Ani. Jemputan ini sangat besar maknanya. Diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gema Bumantara adalah kenangan yang akan disimpan sampai bila-bila,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, hari ini.
Mengulas mengenai persembahannya, Noraniza mengakui dia telah menjalani latihan intensif selama beberapa hari bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik.
Kehadirannya di atas pentas nyata tidak mengecewakan apabila rangkaian lagu ikonik seperti Hati Kama dan Dondang Dendang disambut dengan sorakan gemuruh oleh ribuan penonton yang membanjiri lokasi konsert.
“Alhamdulillah, Allah pinjamkan kekuatan untuk Kak Ani menyempurnakan amanah ini. Saat berdiri di hadapan penonton dan melihat sambutan luar biasa terhadap Hati Kama serta Dondang Dendang, segala penat lelah sepanjang latihan terasa sangat berbaloi.
“Tahniah Siti, Rozi dan seluruh warga kerja kerana berjaya mengangkat muzik tradisional kita dengan begitu megah dan penuh jiwa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Noraniza turut menitipkan pesanan penghargaan buat para peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan doa sepanjang penglibatannya dalam industri muzik tanah air.
“Buat semua yang terus mendoakan dan menyokong, mungkin Kak Ani tidak mampu membalas setiap satu, tetapi percayalah, kasih anda semua sampai ke hati.
“Terima kasih kerana terus memberikan tempat buat Kak Ani di dalam industri ini,” katanya.-UTUSAN











