MENIKMATI hidangan dengan dikelilingi kehijauan pokok dan suasana taman menjadi pengalaman istimewa bagi pelanggan Izz’s Garden Cafe di Kampung Jawek di Besut, Terengganu.
Kafe berkonsepkan taman itu tercetus daripada minat pengusahanya, Khairuni Mohd. Khalil terhadap landskap dan tumbuh-tumbuhan sebelum dikembangkan secara berperingkat menjadi ruang makan pelanggan yang kini mendapat sambutan ramai.

Usaha menghijaukan kawasan berkenaan bermula kira-kira 10 tahun lalu dengan penanaman pelbagai spesies pokok manakala kafe pula mula beroperasi kira-kira dua tahun selepas itu.
“Pada awalnya saya hanya bermula dengan kafe kecil-kecilan yang menjual pizza dan pelbagai aiskrim buatan sendiri. Namun disebabkan minat menanam maka tercetus idea untuk mengembangkan kafe itu dengan konsep taman seperti ini.
“Apabila pokok semakin membesar, saya terfikir mengapa tidak jadikan kawasan ini sebagai taman untuk orang datang makan dan berehat,” kata Khairuni kepada Mingguan Malaysia.
Kira-kira 200 pokok daripada pelbagai spesies kini menghiasi kawasan kafe itu termasuk heliconia, monstera dan calathea luthea yang sebahagiannya dibeli sebelum dibiakkan sendiri.
Konsep itu turut berkembang mengikut maklum balas pelanggan apabila semakin ramai datang untuk bergambar ‘pakaian untuk hari ini’ (OOTD), mengadakan perjumpaan keluarga dan majlis kecil dalam suasana terbuka.
“Sekarang orang bukan sekadar datang untuk makan tetapi mahu menikmati suasana, bergambar dan berehat seketika daripada kesibukan harian. Semua generasi boleh menikmati suasana seperti ini termasuk golongan muda yang gemar OOTD serta keluarga yang mahu berkumpul dalam persekitaran lebih santai,” katanya.
Harga makanan ditawarkan antara RM10 hingga RM28 manakala menu pula berkembang daripada hanya pizza dan aiskrim ketika peringkat awal kepada kira-kira 100 pilihan makanan termasuk nasi, pasta, burger, hidangan sampingan sera pencuci mulut.
“Pada dua tahun pertama, kami banyak bergantung kepada pizza dan aiskrim. Selepas itu, pelanggan mula bertanya sama ada ada nasi, pasta dan chicken chop. Jadi kami tambah menu secara berperingkat berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya.
Hidangan yang mendapat sambutan hangat termasuk pasta dan pelbagai jenis pizza selain terdapat hidangan yang menggabungkan cita rasa tempatan dengan makanan Barat seperti pizza daging dendeng dan pizza ayam balado.

Katanya, konsep berkenaan diwujudkan bagi memberi kelainan kepada pelanggan yang mahu menikmati makanan Barat tetapi masih mempunyai cita rasa tempatan.
“Kami tidak mahu pelanggan rasa terlalu tipikal dengan menu Barat, jadi kami cuba masukkan cita rasa tempatan. Contohnya pizza daging dendeng lebih mendapat perhatian golongan lebih berusia, manakala golongan muda cenderung memilih beef, pepperoni dan menu moden,” katanya.
Selain itu, Izz’s Garden Cafe menawarkan lebih 20 jenis aiskrim yang ditukar secara berkala bagi memberi pilihan berbeza kepada pelanggan. Sekitar enam hingga lapan jenis aiskrim ditawarkan pada satu-satu masa dengan perisa yang sentiasa berubah mengikut minggu.
Katanya, pencuci mulut seperti kek, puding dan panna cotta turut melengkapkan pilihan hidangan di kafe berkenaan.
“Menu kami sentiasa melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kalau kami perkenalkan menu baharu, kami lihat sambutan pelanggan dalam tempoh satu hingga dua bulan. Jika penerimaan baik, kami kekalkan dan terus tambah baik dari segi rasa serta persembahan,” katanya.
Menurut Khairuni, usaha mengekalkan konsep taman itu juga bukan sesuatu yang mudah kerana pokok perlu diselenggara setiap hari termasuk menyiram, membaja, memangkas dahan dan membersihkan daun yang gugur.
Katanya, konsep kafe itu turut mendapat sokongan suaminya, Muhammad Fazli Zainal Abidin, 50, dan dua anak mereka, Izz Dini, 21, dan Amal Hafiy, 17, termasuk dalam usaha memperkemas menu dan pengalaman pelanggan.
Selain kawasan taman, pengunjung turut boleh menikmati suasana rumah lama berusia lebih 70 tahun yang dikekalkan sebahagian strukturnya selepas melalui proses pengubahsuaian, sekali gus menambah elemen nostalgia kepada pengalaman menjamu selera di kafe berkenaan.-UTUSAN










