Nyaris ‘dijilat’ api kerana letupan kereta - Utusan Malaysia

Nyaris ‘dijilat’ api kerana letupan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESUNGGUHAN Zuraini Kassim dalam bidang lakonan membuatkan dia sanggup menggadai nyawa demi menghayati babak nahas jalan raya dalam drama Jendela Hati yang diterbitkan pada penghujung 1990-an.

Zuraini nyaris dijilat api gara-gara berada berdekatan kereta yang diletupkan dalam drama tersebut.

“Saya diberi pilihan, antara lakonkan sendiri babak tersebut atau guna pelakon lagak ngeri. Kerana ingin menyahut cabaran dan demi kepuasan sendiri, saya bersetuju berada dalam kereta berkenaan setelah ia terbalik dan merangkak keluar sebelum diletupkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak lama selepas saya merangkak keluar, kenderaan terus diletupkan. Saya merasakan kepanasan bahang letupan tersebut, namun tidak mengetahui apinya nyaris ‘menjilat’ saya.

“Saya hanya menyedari perkara itu apabila diberitahu jurukamera,” ceritanya.

Anak kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini memaklumkan pelakon dulu, seperti juga pelakon sekarang, yang berani menyahut cabaran untuk merealisasikan satu-satu babak dalam filem atau drama.

Katanya, disebabkan itu, dia sanggup meletakkan nyawa sebagai taruhan demi mencapai kepuasan diri dan untuk menampakkan lakonannya menjadi.

“Saya mahu apa yang dilakukan saya itu nampak realistik, jadi saya beri komitmen penuh apabila berlakon. Kami, pelakon lama menunjukkan semangat dan dedikasi yang tinggi.Contohnya, ketika melakonkan babak lemas di perairan Terengganu, saya melompat ke laut tanpa memakai jaket keselamatan. Saya lakukan agar babak itu nampak seperti benar-benar berlaku.

“Saya yakin kerana saya tahu berenang. Ini atas nasihat pelakon-pelakon terdahulu yang berpesan timba ilmu kalau ingin menjadi pelakon yang baik. Jadi, sebelum melakonkan babak itu, saya belajar berenang,” katanya.

   

Menyingkap latar belakang, Zuraini, yang dibesarkan bersama enam adik beradik, terpaksa melupakan keinginan untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat Tingkatan 5 kerana membantu keluarga.

Selepas tamat persekolahan, dia terus membabitkan diri dalam bidang teater dan pernah menubuhkan kumpulan rock.

“Saya bermula dalam bidang teater dan nyanyian. Ketika itu, di bawah Perpustakaan Negara, saya aktif berlakon teater. Antara lakonan teater terawal saya adalah menerusi pementasan Jebat dan Kabut. Saya sempat dibimbing Allahyarham Sudiro Sukiman.

“Dalam masa sama, saya juga mencari pendapatan dengan aktiviti nyanyian dan pernah menubuhkan sebuah band ketika penghujung era 80-an. Namun tidak lama selepas itu, band tersebut berpecah dan membawa haluan masing-masing.

“Saya pula dapat meneruskan penglibatan dalam bidang lakonan apabila menerima banyak tawaran berlakon di Radio Televisyen Malaysia ( RTM) dan stesen TV swasta. Drama pertama lakonan saya adalah Lambaian Kaabah yang disiarkan di RTM,” kongsinya.

BELAJAR LAKONAN DARIPADA ILMU P. RAMLEE

Meskipun tidak pernah bersemuka, Zuraini menganggap Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai pelakon kegemaran dan banyak mempelajari selok belok dunia perfileman daripada beliau.

Malah ketika awal pembabitan dalam dunia lakonan dahulu, dia sekadar mendengar pelakon-pelakon lama bercerita mengenai pengalaman mereka bekerja dengan seniman agung tersebut.

“Alhamdulillah, saya berpeluang bekerjasama dengan ramai rakan-rakan arwah seperti Kuswadinata, S. Shamsudin, Aziz Sattar, A.K Jailani, Ahmad B dan ramai lagi.  Ahmad B antara orang yang bersahabat baik dengan P. Ramlee bagaimanapun tidak banyak filem yang mengandingkan mereka berdua.

“P. Ramlee dan pelakon-pelakon yang pernah bekerjasama dengan beliau menjadi inspirasi saya untuk melangkah ke dunia lakonan,” katanya.

Kata zuraini, pelakon-pelakon lama banyak meninggalkan pesanan dan tunjuk ajar dan antara nasihat. Yang menjadi pegangannya sehingga sekarang adalah pelakon itu harus berkemampuan untuk menjadi apa saya dengan watak yang dipertanggungjawabkan.

“Kata mereka, pelakon harus sedia menjadi apa sahaja watak yang diberikan kepada mereka. Walau sekadar mengetahui asas sahaja, pelakon perlu tahu menari, seni pertahankan diri, membawa kenderaan dan sebagainya. Ini adalah asas yang perlu dimiliki setiap pelakon,” ujarnya.

MISTIK DIDATANGI LELAKI SERBA PUTIH

Sepanjang bergiat dalam bidang lakonan, pelbagai pengalaman yang Zuraini lalui termasuklah cerita-cerita aneh yang diceritakan.

Antara yang yang menimbulkan menjadi misteri adalah ketika dia hampir dilamar menjadi menantu kepada makhluk bunian ketika mengikuti penggambaran drama Misteri Banglo Putih.

“Ketika kejadian, saya dan seorang rakan produksi ingin menunaikan solat Isyak di bilik yang disediakan produksi. Sahabat saya didatangi seorang lelaki tua memakai pakaian serba putih yang memaklumkan dia berkenan untuk menjadikan saya menantunya.

“Saya tidak sempat bertemu lelaki tersebut yang hilang tanpa jejak sebaik sahaja sahabat saya itu memaklumkan perkara itu kepada saya.

“Selain itu, seluruh kru produksi drama Pendekar mengalami kejadian pelik apabila didatangi jelmaan lelaki berpakaian seperti pahlawan yang hilang selepas berjalan menuju ke belakang rumah dan kemudian menghilangkan diri.

“Sebenarnya bidang lakonan ini mendedahkan kita dengan pelbagai persekitaran yang misteri dan mistik. Namun itu menjadi pengalaman yang saya tidak dapat lupakan,” ujarnya.

SURVIVAL DEMI KELANGSUNGAN HIDUP

Kehadiran lambakan pelakon baharu memberi kesan kepada pelakon lama. Zuraini memaklumkan pernah berada di fasa kejatuhan, 10 tahun tanpa tawaran lakonan.

Justeru dia mengambil keputusan untuk menukar bidang, daripada berlakon kepada kerja-kerja di luar kebiasaan untuk menanggung keluarga.

“Bermula pada tahun 2010, di mana pelakon-pelakon baharu mengambil alih watak utama dalam drama dan filem, mewujudkan persaingan dalam kalangan pelakon seangkatan saya bagi watak-

watak yang lebih berusia.
“Saya ketika itu mengambil keputusan untuk beralih bidang belakang kamera dan pada masa sama mula mencari peluang pekerjaan di tempat lain.

“Pelbagai kerja yang saya lakukan, antaranya menjadi pengurus produksi, penolong pengarah dan penyedia makanan minuman untuk sebuah produksi drama.

“Bahkan, saya juga pernah menjadi penghantar barang. Saya sejak dulu diajar survival, buat apa sahaja pekerjaan walaupun ia di luar bidang kita. Saya buang rasa malu dan rajin bekerja kerana menanggung keluarga. Orang boleh bercakap apa sahaja. Namun yang menanggungnya kita. Satu perkara yang saya pegang, orang malas tidak akan berjaya, itu sahaja,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini